suria

SNCF Yakin Projek HSR KL-Singapura Dilaksanakan Ikut Garis Masa

PARIS: Syarikat kereta api nasional Perancis, SNCF Group, yakin projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) sepanjang 300 kilometer menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura akan dapat dilaksanakan mengikut garis masa yang ditetapkan.

Naib Presiden Kanan Pembangunan Perniagaan bagi India, Asia Selatan dan Asia Tenggara SNCF, Philippe Lorand, berkata ini memandangkan pihaknya melihat wujud tahap persefahaman yang baik mengenai rancangan, cabaran dan keputusan yang perlu diambil oleh Malaysia dan Singapura.

"Saya fikir, yang baiknya adalah apabila kedua-dua pihak sangat bersedia dan menyokong projek ini, justeru itu mempunyai matlamat yang sama adalah penting," katanya kepada Bernama di Gare de Lyon (Stesen Kereta Api Lyon) di sini pada Selasa.

Beliau berkata apa sahaja ketidakseimbangan faedah atau kebimbangan Singapura dan Malaysia perlu diselesaikan.

"Ia adalah cabaran memandangkan ia memerlukan banyak perbincangan untuk memastikan kedua-dua pihak berkongsi pandangan yang sama," katanya.

SNCF Group, yang memiliki lima unit utama iaitu SNCF Logistics, SNCF Keolis, SNCF Arep, SNCF Voyages dan SNCF Systra, terlibat dalam logistik, pengangkutan besar-besaran, landasan kereta api penumpang jarak jauh serta kejuruteraan dan perundingan landasan.

Lorand berkata SNCF Systra, yang menjalankan perniagaan teras dalam mereka bentuk dan mengoptimumkan sistem pengangkutan bandar terlibat dalam projek HSR.

Systra bertanggungjawab bagi spesifikasi reka bentuk kereta api berkelajuan tinggi keseluruhan, pengisyaratan, bekalan kuasa dan katenari, telekomunikasi, pusat kawalan operasi, penyelenggaraan prasarana, laluan dan stesen, anggaran pelaburan dan kos operasi.

Ia sedang menyediakan kajian kebolehlaksanaan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura dan kesimpulan kajian berkenaan akan dibentangkan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), katanya.

Projek HSR yang dicadangkan pada 2013 itu akan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding lima jam melalui jalan raya, tujuh jam melalui kereta api biasa dan sejam dengan kapal terbang.

Malaysia dan Singapura sedang untuk memuktamadkan kajian kebolehlaksanaan projek yang dianggarkan RM40 bilion itu.

Selain Perancis, negara lain yang menunjukkan minat terhadap projek itu ialah China, Korea Selatan, Jepun, Jerman, Britain dan Sepanyol.

Selain itu, Lorand berkata pengangkutan kereta api dianggap berjaya apabila penuh pada waktu puncak dan mempunyai penumpang yang ramai pada setiap masa.

Justeru itu, keadaan itu menunjukkan orang ramai selesa untuk menggunakan kereta api berbanding jenis pengangkutan lain.-- Bernama


SNCF Group, Philippe Lorand

Artikel Lain