suria

UMW Perkenal Pelincir Grantt

Syed Hisham Syed Wazir

SIBU: UMW GRANTT International Sdn Bhd (UMWG), anak syarikat milik penuh UMW Group, memperkenal minyak pelincir jenamanya sendiri, GRANTT, bagi meluaskan penguasaan pasarannya di Sarawak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UMW Group Datuk Syed Hisham Syed Wazir berkata Sarawak merupakan negeri yang penting bagi kumpulan itu dan aktif dalam perniagaan jentera berat, automatif serta peniagaan pelincir, minyak dan gas.

Beliau berkata perniagaan minyak pelincir kumpulan itu sudah terkenal hasil pengedaran jenama terkenal seperti Pennzoil dari Amerika Syarikat dan Repsol.

"Kami mengadunkan minyak pelincir dengan Pennzoil selama lebih 20 tahun dan memperoleh hak pengedaran daripada Repsol untuk pengedaran di Malaysia dan China sejak empat tahun lepas.

"Dengan memanfaatkan adunan dan pengalaman pengedaran, kumpulan ini telah memutuskan untuk menyediakan adunan pelincir milik sendiri dan memasarkan menggunakan jenama sendiri," kata Syed Hisham.

Beliau memberitahu Bernama dalam temu bual selepas majlis memperkenal  GRANTT di Sarawak sempena Minggu Unit Saham Amanah Malaysia 2015 (MSAM 2015) oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Syed Hisham berkata walaupun jenama itu secara relatifnya masih baharu dan hanya dilancarkan Januari lepas, beliau yakin GRANTT akan menguasai kedudukan yang kukuh memandangkan UMW merupakan jenama yang sudah terkenal dalam peniagaan minyak pelincir.

Pada masa ini jenama itu dijual oleh tujuh pengedar di seluruh negara dan syarikat merancang menyediakan pengedar kecil dan peniaga untuk sampai kepada pasaran yang lebih luas.

Barisan produk GRANTT disasarkan untuk segmen kereta penumpang, motosikal, kenderaan berat dan industri.

Kilang pelincir UMW mempunyai kapasiti menghasilkan 50 juta liter setahun pada 2015.

"Hasil dijangkakan sebanyak RM50 juta hingga RM100 juta setahun dan kumpulan itu menyasarkan mencatat hasil lebih RM100 juta menjelang tahun ketiga," kata  Syed Hisham.

Kumpulan itu kini memberi tumpuan ke atas usaha untuk memperkukuh kedudukan tempatan dan merancang mengeksport produk berkenaan, terutama ke pasaran ASEAN, dengan kumpulan itu kini sudah beroperasi di Indonesia, Singapura, Myanmar dan Vietnam.

UMW Group ialah anak syarikat Permodalan Nasional Bhd dan sudah terlibat sama dalam MSAM sejak 2000.

UMW, Sarawak

Artikel Lain