suria

OCBC Yakin Terhadap Prestasi Jangka Panjang Indeks Dana Beta Zon Eropah

KUALA LUMPUR: OCBC Bank (Malaysia) Bhd, pengedar eksklusif satu siri dana yang baharu dilancarkan oleh RHB Asset Management Sdn Bhd, yakin dengan prestasi jangka panjang Indeks Dana Beta RHB-OSK Zon Eropah.

Dana Beta, siri pertama produk berasaskan Dana Dagangan Bursa (ETF) Malaysia itu direka bentuk untuk menjejaki prestasi indeks asas mereka setepat mungkin.

Naib Presiden Penyelidikan dan Kandungan, Pengurusan Kekayaan OCBC, Michael Lai berkata beliau optimis terhadap Indeks Dana Beta Zon Eropah itu berikutan usaha Bank Pusat Eropah dalam merangsang pertumbuhan dengan melancarkan program pembelian bon asing secara agresif.

"Kami optimis pengurangan kuantitatif (QE) di Eropah akan berjaya, tambahan pula keyakinan perniagaan dan pengguna juga meningkat berbanding enam bulan lepas.

"QE ini akan membolehkan bank memberi pinjaman lebih banyak, sekali gus membantu ekonomi bertumbuh. Justeru kami yakin zon Eropah akan pulih," katanya kepada pemberita selepas pelancaran dana terbabit, di sini, Selasa.

Produk lain yang baru dilancarkan dalam siri itu ialah Indeks Dana Beta RHB-OSK AS, Indeks Dana RHB-OSK Jepun dan Indeks Dana Beta RHB-OSK Pasaran Pesat Berkembang Asia.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Rantau bagi Edaran Runcit Kumpulan, RHB Asset Management, Ho Seng Yee yakin dana Beta akan menampung jurang yang signifikan dalam pasaran pengurusan aset Malaysia.

"Kerjasama dengan OCBC ini akan menyediakan pelabur dengan akses berbeza dalam pendekatan pelaburan mereka apabila membangunkan portfolio," katanya.

Fi jualan bagi dana Beta ditetapkan pada dua peratus, jauh lebih rendah berbanding lima peratus bagi dana diuruskan secara aktif.

Langganan dana terbuka kepada pelabur yang layak dan mereka terdiri daripada individu dengan aset peribadi bersih atau aset bersama bersih keseluruhan dengan pasangan melebihi RM3 juta, atau individu dengan pendapatan tahunan kasar melebihi RM300,000 atau pendapatan bersama pasangan melebihi RM400,000.-- Bernama

Artikel Berikut

Artikel Lain