suria

Syarikat Malaysia Catat Jualan RM75.2 Juta Pada Pameran Auto Indonesia

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia menjana jualan bernilai RM75.20 juta semasa menyertai Pameran Antarabangsa Alat Ganti, Aksesori dan Peralatan Automotif Indonesia 2015 (Inapa).

Antara produk yang mendapat perhatian ialah sistem suspensi automotif, sistem anti-getaran, pelincir, pemegang enjin, pemampat dan pengedap.

"Inapa berfunsi sebagai platform penilaian pasaran yang baik bagi syarikat-syarikat dalam mempromosikan komponen dan peralatan kenderaan mereka ke Indonesia," menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) yang memetik syarikat-syarikat berkenaan sebagai berkata demikian.

Ia juga membolehkan syarikat-syarikat yang menyertainya memahami minat dan permintaan pasaran tempatan, kata agensi penggalakkan perdagangan negara itu yang menganjurkan penyertaan 11 syarikat Malaysia pada INAPA dalam satu kenyataan, Jumaat.

Penyertaan kali ini merupakan tahun keempat berturut-turut Matrade menganjurkannya.

Industri automotif Indonesia masih merupakan pasaran utama di Asean dengan jualan kereta di Indonesia dijangka berkembang antara lima dan 10 peratus.

Inapa merupakan pameran perdagangan aksesori dan peralatan automotif terbesar di Indonesia. Edisi terkininya menampilkan 11 pavilion negara iaitu China, Korea, Taiwan, India, Malaysia, Thailand, Singapura, Australia, Jepun dan Turki.Terdapat lebih 1,100 syarikat dari 35 negara menyertainya.

Pada 2014, eksport peralatan pengangkutan bernilai RM10.58 juta.

Eksport utama peralatan pengangkutan dan produk automotif ke Indonesia ialah kenderaan motor 1000cc-1500cc serta peralatan termasuk roda stering, turus stering dan kotak stering.

Indonesia merupakan rakan dagang Malaysia yang ketujuh terbesar dan destinasi eksport ke sembilan pada 2014 dengan jumlah perdagangan dua hala sebanyak RM59.48 juta dan eksport RM31.76 bilion. -- Bernama

Inapa, Indonesia, Matrade

Artikel Sebelum

Artikel Lain