suria

Malaysia Teroka Pasaran Vaksin Halal Dunia Bernilai AS$80 Bilion

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kanan) diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (kanan) melihat produk halal dari Palestin ketika mengadakan lawatan di tapak pameran selepas merasmikan Sidang Kemuncak Halal Dunia 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Rabu.

KUALA LUMPUR: Malaysia akan menjadi negara pertama meneroka pasaran vaksin halal dunia yang mempunyai potensi bernilai sekurang-kurangnya AS$80 bilion (AS$1.00=RM3.68), kata Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Jamil Bidin berkata, ia akan direalisasikan apabila kilang vaksin halal milik syarikat pengeluar vaksin Arab Saudi, AJ Pharma Holding, mula beroperasi di Nilai, Negeri Sembilan pada 2017.

Beliau berkata, syarikat berkenaan telah memulakan pelaburan untuk membangunkan kilang berkenaan dalam tiga fasa dengan kos keseluruhan bernilai RM300 juta.

"Mereka sudah menyatakan minat yang amat tinggi untuk mencari kaedah bagi  mengeluarkan produk vaksin halal," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan aluan di Persidangan Halal Dunia di sini, Rabu.

Jamil berkata, produk vaksin halal merupakan produk yang amat strategik untuk memenuhi permintaan pasaran umat Islam yang berjumlah 1.8 bilion selain mengukuhkan lagi kedudukan industri halal.

Beliau berkata, setakat ini, masih tiada syarikat pengeluar vaksin di dunia yang mempunyai persijilan halal dan terdapat cadangan supaya produk yang berasaskan tumbuhan diberikan sijil halal.

Persidangan bertemakan "Ekonomi Halal: Penumpuan yang Menguntungkan" selama dua hari bermula hari ini tersebut berlangsung sempena Sidang Kemuncak Halal Dunia yang bermula sejak 30 Mac lepas.-- Bernama


HDC, Jamil Bidin, vaksin halal

Artikel Lain