suria

Brahim's Airline Catering, MAS Meterai Perjanjian Penyelesaian

KUALA LUMPUR: Brahim's Airline Catering Sdn Bhd (BAC) menandatangani perjanjian penyelesaian (SA) dengan Malaysian Airline System Bhd (MAS) Khamis, sebagai sebahagian daripada pelan penstrukturan semula syarikat penerbangan itu yang diumumkan Khazanah Nasional Bhd pada Ogos tahun lepas.

BAC, 70 peratus milik Brahim's Holdings Bhd, merupakan penyaji dalam penerbangan eksklusif kepada MAS di bawah perjanjian katering 25 tahun yang tamat pada 2028, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Dalam satu kenyataan, Brahim's berkata antara terma utama SA itu ialah ia akan bermula pada 1 Oktober 2014 dan kekal berkuat kuasa sehingga perjanjian katering baharu (NCA) ditandatangani pada atau sebelum 31 Mac, 2015.

Semasa tempoh interim, BAC akan memberikan pengurangan 25 peratus bil akhir bulanan kepada MAS tetapi tidak kompromi terhadap kualiti makanan yang disediakan.

BAC dan MAS juga bersetuju untuk penyelesaian penuh dan akhir wang yang dipegang oleh syarikat penerbangan berjumlah RM94.03 juta yang selepas pengurangan penyelesaian global dan pengurangan lain, akan berjumlah RM37.95 juta, akan dikeluarkan dalam dua peringkat.

Sekiranya NCA tidak dimeterai pada atau sebelum 31 Mac, 2015, semua penyelesaian dalam SA hendaklah dianggap tidak sah dan batal.

Sementara itu, Brahim's berkata, SA ditandatangani bertujuan untuk mengurangkan kekangan aliran tunai BAC dan juga Brahim's, disebabkan oleh tindakan MAS menangguhkan pembayaran.

MAS telah menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mencari katerer baharu untuk menggantikan BAC untuk MAS Newco, sekiranya BAC tidak membuat perjanjian interim, sementara menunggu rundingan NCA.

Brahim's, MAS, Khazanah Nasional

Artikel Lain