suria

Industri Logistik Dijangka Meningkat Pada Suku Keempat Tahun Ini

JOHOR BARU: Industri logistik diunjur meningkat menjelang suku keempat tahun ini dengan jangkaan perdagangan global yang bertambah baik.

Presiden Persatuan Wakil Perkapalan dan Penghantaran Pelabuhan-Pelabuhan Johor, Michael Cheah berkata, industri telah mengalami pertumbuhan yang kurang memberangsangkan sejak suku ketiga tahun lepas.

"Pertumbuhan biasa kami secara purata ialah lima hingga 15 peratus tetapi dengan kelembapan, sebahagian daripada kami telah pun mengalami lebih rendah daripada lima peratus.

"Diharapkan industri ini akan meningkat menjelang suku keempat tahun ini," katanya kepada pemberita di pejabat Lembaga Pelabuhan Johor di Pasir Gudang, di sini, Selasa.

Cheah berkata demikian ketika ditanya mengenai prospek industri logistik  tahun ini.

Kelembapan berkenaan disebabkan oleh perdagangan global yang lemah, ditambah pula dengan kejatuhan harga minyak serta kelemahan ringgit, katanya.

Sementara itu, mengenai kesediaan peserta industri logistik untuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), Cheah berkata 95 peratus daripada anggota persatuan telah mengadakan sistem yang diperlukan.

Persatuan, yang pada masa ini mempunyai 104 anggota, telah menganjurkan dua kursus utama mengenai CBP, sebagai sebahagian daripada usaha menghadapi pelaksanaan cukai baharu itu.

"Kebimbangan kami ialah kami mungkin perlu menanggung kos tambahan dalam pengambilan petugas tambahan untuk menjaga proses CBP. Ia boleh menjadi agak rumit," katanya.

Cheah berkata, peserta logistik berharap dapat menyesuaikan diri dengan pelaksanaan CBP dalam tempoh dua tahun yang diberikan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Terdahulu, Cheah menghadiri majlis sumbangan bantuan bencana banjir di sini anjuran Lembaga Pelabuhan Johor.

Sebanyak RM217,650 berjaya dikumpulkan melalui kerjasama antara pelabuhan dan peserta industri logistik untuk diberikan kepada Koordinator I-Bantu bagi  mangsa banjir di Kelantan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Lembaga Pelabuhan Johor Datuk Abdul Rahim Ramli.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain