suria

Syarikat Malaysia Peroleh Hasil Pameran Tekstil Rumah Frankfurt

FRANKFURT: Pameran Heimtextil, Frankfurt selama empat hari yang berakhir Sabtu lepas, ternyata menjanjikan pasaran yang menguntungkan bagi sebuah syarikat tilam busa 'memory' dari Selangor apabila produknya mendapat sambutan daripada pembeli yang mencari produk berkualiti.

Fernex Sdn Bhd yang menyertai pameran Frankfurt buat pertama kali, berkata pameran itu membuahkan hasil yang menguntungkan.

"Heimtextil merupakan pameran yang baik bagi kami. Hasilnya jauh lebih baik daripada yang kami jangka.

"Kami bertemu pembeli-pembeli yang amat berminat di situ berbanding dengan Pameran Perabot Antarabangsa di Cologne yang dibuat sebaik sahaja Heimtextil berakhir.

"Kami sangat berpuas hati dengan hasil di pameran Heimtextil, Frankfurt dan kami akan menyertainya lagi pada masa depan," kata Pengarah Urusan Fernex, Lim Lee-Kheang kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, keyakinan beliau bukanlah semata-mata dipacu melalui hasil yang positif daripada pameran itu terutama apabila syarikat tersebut berjaya memperoleh tempahan yang konkrit bernilai antara AS$200,000 hingga AS$300,000.

"Yang paling penting, kami turut menerima pertanyaan perniagaan yang serius yang boleh diterjemahkan kepada urus niaga yang nyata dengan nilai yang agak menarik.

"Saya gembira dengan penyertaan syarikat. Pelaburan dan usaha kami berbaloi," katanya.

Lim mengambarkan produk berdasarkan busa bermemori syarikat itu sebagai "busa pemulihan perlahan" yang berfungsi untuk melegakan tekanan dengan membantu peredaran darah.

"Busa ini sudah pun meraih populariti dalam pasaran, terutama dengan pelanggan yang amat mementingkan keselesaan semasa berbaring," katanya sambil menambah, syarikat beliau mendapat manfaat daripada fakta bahawa kelebihan bahan itu sudah pun diperakui dalam pasaran barat.

Syarikat itu turut menerima pertanyaan daripada pembeli antarabangsa yang lain termasuk Amerika Syarikat, Kanada, Amerika Selatan, Arab Saud, Sepanyol, Peranchis dan Emiriah Arab Bersatu.

Sementara itu, Naib Presiden (tekstil dan teknologi tekstil) Messe Frankfurt, penganjur pameran Heimtextil, Olaf Schmidt, menyeru peserta Malaysia dan anggota Asean yang lain untuk mendapatkan manfaat daripada ketinggian tahap gred antarabangsa di pameran Frankfurt tersebut.

"Heimtextil menyediakan platform yang unik bagi anda menunjukkan produk anda," katanya.

"Walaupun angka pempamer daripada rantau Asean lebih rendah daripada negara-negara Asia yang lain, Schmidt percaya sesetengah negara anggota Asean memiliki kemampuan yang baik dalam sektor tekstil.

Artikel Sebelum

Artikel Lain