suria

Brahim's Dewina Bantu Jepun Teroka Pasaran Pelancongan Muslim

NAGOYA: Brahim’s Dewina Group of Companies kini sibuk membantu Jepun memanfaatkan pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang di negara berkenaan.

Ini terutamanya dengan kedatangan Olimpik Tokyo 2020, kata Pengarah Pemasaran dan Pembangunan Perniagaannya, Ahmad Husaini Hassan.

Menurut laporan, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe berusaha untuk meningkatkan pelancongan sebagai sebahagian daripada 'Abenomics', pelan pengukuhan semula pertumbuhan negara berkenaan.

Menjelang 2020, kerajaan negara itu berharap untuk meningkatkan bilangan pelancong tahunan kepada 20 juta.

Negara itu juga mengunjur 35 peratus daripada atlet di Olimpik 2020 beragama Islam. Bagaimanapun jumlah restoran yang menawarkan makanan halal di Jepun pada masa ini sangat sedikit.

Sebagai langkah permulaan, lapangan terbang ketiga terbesar di Jepun, Lapangan Terbang Antarabangsa Central Jepun (Centrair), memulakan usaha dengan menjadinya "Mesra Muslim".

Terletak di Nagoya, penerima Anugerah Lapangan Terbang Dunia Skytrax buat kali keempat sejak 2011 itu telah meminta Brahim's Dewina Group membantu menyediakan perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka yang beragama Islam.

"Centrair telah menemui kami awal tahun ini dan sejak itu, kami telah membantu, bukan sahaja dalam memenuhi keperluan umat Islam yang singgah di sana tetapi juga mencadangkan kemudahan lain seperti ruang solat untuk mereka.

"Lapangan terbang ini telah memenuhi cadangan itu," kata Ahmad Husaini.

Beliau berkata penumpang beragama Islam kini boleh menikmati makanan halal di dua restoran milik lapangan terbang, yang turut menjual produk Brahim’s termasuk nasi lemak, nasi biryani dan rendang ayam.

Beliau berkata walaupun sasaran awal ialah untuk menyediakan hidangan yang mencukupi bagi umat Islam, syarikat ini menyasar untuk pasaran yang lebih besar dengan menarik juga penumpang bukan Islam serta warga tempatan yang melawat lapangan terbang itu pada hujung minggu.

"Memandangkan lapangan terbang ini antara tempat pilihan untuk bersantai di Nagoya, kami menyasar pasaran yang lebih besar dan mempromosi bukan sahaja makanan halal tetapi sajian Malaysia kepada orang Islam dan bukan Islam.

"Ini dapat meningkatkan perniagaan kami kerana kami merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada segmen katering dalam penerbangan yang kini menyumbang 70 peratus daripada pendapatan kepada syarikat," kata Ahmad Husaini.

Beliau berkata hampir 90 peratus pelanggan yang menikmati sajian di kedua-dua restoran di Centrair itu adalah bukan Islam dan restoran berkenaan mencatat pertumbuhan purata 30 peratus dalam pendapatan pada asas bulanan.

"Disebabkan perkembangan ini, kami menerima tawaran daripada lapangan terbang lain di Jepun untuk membantu mereka menawarkan perkhidmatan kepada yang beragama Islam dan bukan Islam dengan menyediakan sajian halal Malaysia.

"Selain beroperasi di Centrair, Brahim’s Dewina Group juga berada di Lapangan Terbang Kansai dan beralih ke Haneda di Jepun," katanya.

Beliau berkata pada Julai lepas, Brahim’s menganjurkan seminar halal di Tokyo dan sejak itu, telah menerima pelawat yang bertanya kepada syarikat untuk menjadi rakan kongsi.

"Kami terbuka kepada sebarang cadangan," kata Ahmad Husaini.

Brahim’s Dewina Group juga mempunyai projek lain di Jeddah dan menyasar untuk memperluaskan perniagaan di Eropah.

George Hayashi, Pengurus Besar International Restaurant Service Co Ltd yang mengendalikan empat restoran termasuk dua yang menawarkan produk Brahim’s di Centrair, berkata lapangan terbang itu akan dapat meningkatkan bilangan penumpang Islam sebelum 2020.

"Tahun depan, syarikat penerbangan Indonesia, Garuda Airline akan ke sini enam hari seminggu dan AirAsia X juga meningkatkan kekerapan perkhidmatannya.

Jadi kami berharap dapat mencapai sasaran kami.

"Kami berhasrat untuk meningkat bilangan restoran halal dalam masa terdekat.

Malah, beberapa restoran kini telah melabelkan makanan mereka dengan tanda makanan tidak halal seperti daging babi dan alkohol, yang memudahkan pelancong Islam membuat pesanan hidangan mereka," katanya.

Menurut laporan, jumlah terbesar pelancong Islam adalah dari Malaysia dan Indonesia.

Pengecualian visa mulai 2013, memudahkan warga Malaysia melawat Jepun, dan pengecualian bagi rakyat Indonesia pula dijangka bermula pada 1 Dis tahun ini.

Brahim's Dewina, Jepun, Muslim

Artikel Lain