suria

Syarikat Kecil Harus Tingkatkan Daya Saing Hadapi AEC

KUALA LUMPUR: Syarikat kecil dan mikro harus bersedia untuk meningkatkan daya saing pengeluaran produk mereka menjelang pelaksanaan integrasi ekonomi serantau melalui Komuniti Ekonomi Asean (AEC) tahun depan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata pemansuhan duti import dan halangan-halangan bukan tarif dalam kalangan negara Asean akan memberi peluang kepada pengusaha Malaysia untuk mengeksport produk seperti makanan telah diproses, elektrik dan elektrikal, hasil kayu, getah dan produk-produk yang dihasilkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Secara tidak langsung AEC akan meningkatkan kualiti dan daya saing para peniaga Malaysia di rantau Asean dan seterusnya di pasaran dunia.

"Sebagai persediaan, Malaysia mesti mengambil peluang dengan fokus kepada sektor-sektor yang telah dikenal pasti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA)," katanya dalam sesi jawab lisan Persidangan Dewan Rakyat, di sini, Selasa.

Beliau menjawab soalan Gooi Hsiao-Leung (PKR-Alor Setar) yang ingin tahu perubahan dan faedah untuk negara apabila integrasi ekonomi serantau Asean melalui AEC berkuat kuasa tahun depan.

Hamim berkata setakat ini 82 peratus langkah-langkah pelaksanaan AEC berjaya dijalankan.

Menurutnya AEC adalah pendekatan tersusun dan berperingkat bagi liberalisasi dan integrasi ekonomi serantau bertujuan meningkatkan daya saing negara-negara Asean dengan tiga skop utama iaitu perdagangan, perkhidmatan dan pelaburan.

"Dengan sejumlah 620 juta penduduk di rantau ini, kerajaan berpandangan pembentukan AEC akan membawa banyak kesan positif terutama membolehkan syarikat-syarikat Malaysia meneroka pasaran Asean yang luas serta membolehkan mereka melabur di negara-negara anggota Asean yang lain," katanya.

Katanya pelaburan langsung asing (FDI) ke ke Asean pada 2013 berjumlah US$122.4 bilion, meningkat 7.1 peratus berbanding 2012 dan daripada jumlah itu US$12.3 bilion dilaburkan di Malaysia.

Negara-negara anggota Asean juga merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia melibatkan 27.4 peratus daripada jumlah perdagangan global negara.

Eksport Malaysia ke pasaran Asean pada 2013 meningkat 7.2 peratus kepada RM201.81 bilion berbanding 2012.

AEC, Miti

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain