suria

TPM, BTP Bantu Peserta Inkubator Tembusi Pasaran Global

KUALA LUMPUR: Technology Park Malaysia Corp (TPM) menjalinkan kerjasama dengan Bandung Techno Park (BTP) Indonesia untuk melaksanakan inkubator bersama serta inisiatif pengantarabangsaan bagi membantu peserta inkubator menembusi pasaran global.


Kerjasama itu merupakan lanjutan daripada persetujuan kolektif antara inkubator ASEAN semasa Bengkel Perniagaan Teknologi ASEAN di Bogor, Indonesia tahun lepas, kata TPM dalam satu kenyataan.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TPM Datuk Ir Mohd Azman Shahidin berkata kerjasama antara TPM dan BTP merupakan langkah utama untuk syarikat baharu di TPM dan usahawan teknologi meneroka peluang perniagaan di luar pasaran domestik.

"Sebagai inkubator terkemuka di Malaysia, kami yakin bahawa usaha itu akan memberi manfaat bersama untuk usahawan dan rakan-rakan mereka di BTP dalam mempercepat pertumbuhan mereka dalam arena global.

"Ia sudah tentu menggalakkan rangkaian yang lebih kukuh, berkongsi pengetahuan dan pengalaman dan menawarkan peluang untuk jangkauan pasaran yang lebih luas," kata Azman.

Melalui usaha sama ini, TPM dan BTP akan membangunkan program pelaksanaan/inkubator bersama untuk inkubator/Perindustrian Kecil Sederhana (PKS) kedua-dua pihak, termasuk penyediaan ruang pejabat fizikal, bantuan perkhidmatan sokongan dan perkhidmatan inkubator maya.

"Kedua-dua pihak bersetuju bahawa kemasukan ahli-ahli inkubator/PKS dalam program itu adalah mengikut prosedur pemilihan dan saringan masing-msing yang sedia ada di TPM dan BTP," katanya.


TPM, ASEAN, inkubator

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain