suria

Laporan: Kerajaan Terus Sedia Peruntukan Rumah Mampu Milik

KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi membina rumah mampu milik dalam usaha menyediakan kediaman yang mencukupi untuk golongan berpendapatan rendah tetap diberi keutamaan oleh kerajaan.


Menurut Laporan Ekonomi 2014/2015 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan hari ini, rumah-rumah itu dibina di bawah pelbagai program seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR), Rumah Mampu Milik (RMM), Rumah Idaman Rakyat (RIR), Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia dan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia merupakan kategori baharu yang diperkenalkan dalam Bajet 2013, dengan harga jualan antara RM45,000 hingga RM65,000 seunit.

Kerajaan memberi subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit di bawah kategori baharu rumah itu. Kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion di bawah PR1MA untuk membina 80,000 unit rumah.

Menurut laporan itu, lebih banyak rumah dibina pada separuh pertama tahun ini bagi memenuhi permintaan daripada bakal pembeli.

Dalam tempoh itu subsektor kediaman berkembang kukuh sebanyak 22.1 peratus, berbanding 15.7 peratus pada tempoh sama tahun lepas, disokong oleh penawaran akan datang sebanyak 9.5 peratus.

Kelulusan perumahan baharu meningkat dengan ketara sebanyak 32.6 peratus kepada 96,115 unit (Januari - Jun 2013: 6.8 peratus; 72,461 unit).

Kadar jualan tertinggi dicatatkan bagi rumah berharga antara RM200,001 hingga RM250,000 iaitu sebanyak 49.3 peratus, manakala kadar jualan untuk rumah berharga antara RM500,001 hingga RM1,000,000 lebih perlahan pada kadar 11.6 peratus (Januari - Jun 2013: 34.2 peratus), berikutan beberapa langkah meredakan sektor perumahan.

Menurut laporan itu, nilai jumlah urus niaga hartanah meningkat kepada RM82 bilion (Januari - Jun 2013: RM68.8 bilion), dengan jumlah transaksi berkembang 3.3 peratus kepada 193,405, dalam tempoh enam bulan pertama 2014.

Sementara itu, harga rumah di Malaysia terus meningkat pada kadar lebih perlahan berikutan beberapa langkah membendung kenaikan harga rumah yang dilaksanakan sejak 2010, dan ia didorong permintaan kukuh berikutan persekitaran pasaran buruh yang menggalakkan dan peningkatan pendapatan isi rumah.

Sementara itu, sektor pembinaan negara terus mencatat pertumbuhan dua angka sebanyak 14.3 peratus pada separuh pertama tahun ini (Januari - Jun 2013: 12 peratus), meliputi 19,649 projek pembinaan dengan nilai kontrak RM50.1 bilion.


Artikel Lain