suria

Syarikat Malaysia Perlu Fahami Kesan Undang-Undang Luar - Maybank

KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia, sama ada beroperasi di pasaran tempatan atau mengembangkannya ke luar negara, perlu memahami bagaimana undang-undang luar dapat memberi kesan kepada perniagaan mereka, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank Datuk Abdul Farid Alias.


"Undang-undang kini meresap secara praktikal segala yang kita lakukan, dan peguam mesti mengambil kira perkara ini apabila menyokong organisasi mereka dan menyusun pelan dan strategi mereka.

"Ini penting berikutan ramai daripada kita telah beroperasi atau mempunyai perancangan untuk beroperasi di rantau ini, terutamanya dengan pelaksanaan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) bermula 2015," katanya pada Persidangan Undang-Undang Maybank yang julung kali diadakan baru-baru ini.

Abdul Farid berkata, pengalaman Maybank sendiri dalam pengembangan serantau beberapa tahun ini memberinya pemahaman mengenai kesukaran untuk menjalankan perniagaan dalam persekitaran global, terutamanya dalam menangani rangka kerja undang-undang yang berbeza.

"Mematuhi peraturan merupakan satu kemestian, dan syarikat yang mempunyai amalan pengurusan risiko dan pengawalseliaan yang kukuh mengekalkan kelebihan daya saing berbanding yang tidak memilikinya.

"Bagaimanapun, ia juga terbukti bahawa terdapat lebih daripada hanya mematuhi peraturan pada hari ini," katanya.

Persidangan itu yang bertemakan "Menjangkaui Undang-Undang Tempatan" telah menarik lebih 250 peserta daripada kalangan pengamal undang-undang, termasuk pegawai undang-undang dan pengawalseliaan syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat korporat lain serta kakitangan Maybank dan peguam dalaman kumpulan itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain