suria

PNB Agih RM664.22 Juta Pendapatan Bagi AS1M, Naik 13 Peratus

Ahmad Sarji (kiri) dan Hamad Kama Piah mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1Malaysia 6.60 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2014 di sini, Rabu.
KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) pada Rabu mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak RM664.22 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September  2014 kepada 376,631 pemegang unit Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).


Peruntukan bagi pengagihan pendapatan ini adalah 13 peratus lebih tinggi dari tahun sebelumnya dan diberi pada kadar 6.60 seunit.

Pengerusinya, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, sehingga 22 September 2014, tabung AS1M telah memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM787.23 juta, dengan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM436.89 juta atau 55.5 peratus.

"Pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat pula menyumbang sebanyak RM231.45 juta atau 29.4 peratus kepada jumlah pendapatan kasar tersebut," kata Ahmad Sarji kepada media ketika mengumumkan pengagihan pendapatan AS 1Malaysia di sini.

Beliau berkata sebanyak RM118.89 juta atau 15.1 peratus diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen-instrumen jangka pendek dan lain-lain pendapatan.

Presiden merangkap Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata kumpulan tersebut mempunyai kapasiti untuk mengagihkan pendapatan pada kadar 8.40 seunit.

"Akan tetapi, pihak pengurusan telah bersetuju untuk mengagihkan pendapatan pada kadar 6.60 seunit bagi memastikan pulangan berterusan kepada pemegang unit AS1M," kata beliau pada sidang media.

Menyentuh mengenai Amanah Saham Bumiputera (ASB) 2 yang dilancarkan pada April tahun ini, Hamad Kama Piah berkata sebanyak 1.22 billion unit dari 10 billion unit telah dilanggan oleh 60,941 pemegang unit saham sehingga kini.

"Kami akan mempromosikan ASB2 di Sandakan pada minggu hadapan," katanya lagi.

Mengenai Menara Warisan Merdeka, beliau berkata pembinaan asas dan cerucuk kini telah mencapai 35 peratus dari keseluruhan pembinaan asas bangunan mercu PNB tersebut.

"Pembinaan asas dijangka siap pada suku ketiga tahun 2015 dan pihak PNB sedang meneliti kontraktor yang telah menunjukkan minat kepada projek tersebut.

"Penilaian terhadap kontraktor sedang dijalankan dan kami akan umumkan keputusan tender pada suku terakhir tahun ini," katanya lagi. 


Artikel Lain