suria

Matrade Tumpu Promosi Produk Malaysia Dalam Industri Nilai Tinggi

SUNGAI PETANI: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) kini memberi tumpuan kepada usaha-usaha mempromosikan produk Malaysia dalam industri bernilai tinggi untuk pasaran antarabangsa.


Pengerusinya, Datuk Noraini Ahmad berkata, usaha promosi itu antaranya melibatkan sektor elektrikal dan elektronik, minyak dan gas, teknologi hijau serta perkhidmatan pembinaan dan kejuruteraan.

"Tumpuan promosi Matrade kini bukan sahaja kepada industri tradisional seperti pembuatan perabot, makanan dan produk berasaskan sumber," katanya pada majlis perasmian Program Forum Pengeksport Matrade 2014 di sini, Selasa.

Majlis tersebut dirasmikan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Noraini berkata Matrade juga mengadakan program khas untuk usahawan Bumiputera, wanita dan belia.

"Program berkenaan melibatkan bimbingan bagi membangunkan usahawan Bumiputera, wanita dan belia menjadi lebih berdaya saing, berkeyakinan, profesional serta berupaya untuk mengenal pasti peluang-peluang di pasaran eksport," katanya.

Beliau berkata, Matrade kini membangunkan beberapa inisiatif baharu untuk membolehkan usahawan dan pengeksport bersaing dengan syarikat-syarikat ternama di peringkat antarabangsa.

"Di bawah program Go-Ex, Matrade menyasarkan sejumlah 1,400 syarikat untuk dibimbing dan dibangunkan untuk menjadi pengeksport yang lebih berdaya saing di pasaran antarabangsa dalam masa lima tahun.

"Program Pembangunan Syarikat Mid-Tier pula bertujuan untuk membantu syarikat-syarikat pertengahan sehingga berjaya menjadi juara serantau atau global. Ini adalah satu 'acceleration programme' untuk meningkatkan lagi pertumbuhan syarikat pertengahan di Malaysia untuk bergiat dalam inovasi dan pembangunan teknologi untuk terus maju di pasaran antarabangsa.

"Program e-Trade merupakan inisiatif di bawah Digital Malaysia bagi meningkatkan penyertaan syarikat PKS dalam rantai e-dagang dan memperluaskan penampilan mereka di pasaran antarabangsa. Inisiatif ini menyasarkan 2,625 PKS bagi tahun ini," katanya.

Noraini berkata, program Forum Pengeksport ini merupakan usaha berterusan Matrade dalam memperkasakan pengeksport Malaysia di pasaran global.

Program itu bertujuan menggalakkan syarikat tempatan mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Ia juga bagi menyebarkan maklumat terkini berkaitan aktiviti Matrade, keperluan dan peluang pasaran serta berkongsi pengalaman dengan syarikat tempatan yang telah mencapai kejayaan di pasaran antarabangsa.

Forum itu juga sebagai platform untuk mendapatkan maklum balas daripada usahawan dan pengeksport dalam mengenal pasti masalah serta isu-isu berkaitan dengan perdagangan antarabangsa.

Kira-kira 200 usahawan tempatan menghadiri program hari ini, yang melibatkan usahawan dalam sektor pengilangan, perdagangan dan perkhidmatan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain