suria

TPM Akan Bangunkan Teknologi Robotik

KUALA LUMPUR:Technology Park Malaysia Corp Sdn Bhd (TPM) berharap dapat membangunkan sepenuhnya teknologi robotik Malaysia sendiri bagi menampung peningkatan permintaan dalam negara dan juga global.

Pengurus Besar Pusat Pengkomersilan Teknologi TPM, Dr Mohamad Zaihirain Mohamed Rasin, berkata ketika ini negara mengimport kebanyakan teknologi robotiknya.

"Industri robotik telah dikenal pasti sebagai bahagian kritikal bagi menyokong tonggak ekonomi Malaysia.

"Prospek industri robotik tempatan sudah pastinya cerah memandangkan keperluan bagi automasi oleh pengeluar tempatan," katanya kepada pemberita semasa Bengkel kerja mengenai Pelan Hala Tuju Industri Robotik bagi Malaysia di sini, Selasa.

Beliau berkata, laporan terkini International Federation of Robotics (IFR) menunjukkan bahawa permintaan global bagi robot perindustrian mencecah paras tertinggi kira-kira 168,000 unit pada 2013, peningkatan lima peratus berbanding 2012.

"Dengan pertumbuhan kukuh industri robotik global seperti yang dilaporkan oleh IFR, kami percaya sudah sampai masanya bagi Malaysia mula meneroka peluang untuk meningkatkan daya saing eksportnya menerusi penggunaan meluas teknologi robotik dan inovasi," katanya.

IFR mengunjurkan pasaran robotik perindustrian berkembang sebanyak enam peratus setahun sehingga 2017, dengan saiz pasaran perkakas robotik sahaja dianggarkan kira-kira RM40.61 bilion. 


Artikel Lain