suria

Dagangan Malaysia Pada Julai Meningkat RM118.59 Bilion

KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia pada Julai 2014 meningkat kepada RM118.60 bilion daripada RM118.59 bilion yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas manakala lebihan dagangan berjumlah RM3.64 bilion, demikian menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Jumaat.

Dalam laporan Perangkaan Perdagangan Luar Malaysia, MITI berkata eksport pada Julai bertambah 0.6 peratus, berbanding tahun sebelumnya, kepada RM61.12 bilion manakala import susut 0.7 peratus kepada RM57.48 bilion.

"Peningkatan dalam perdagangan dicatatkan dengan Singapura yang naik RM1.41 bilion, Australia (RM775.4 juta), Taiwan (RM763.5 juta), Kuwait (RM577.2 juta), Hong Kong (RM529.6 juta), Filipina (RM479.2 juta), Arab Saudi (RM361.3 juta) dan Amerika Syarikat (RM291.6 juta)," katanya.

Bagi tempoh tujuh bulan, jumlah dagangan Malaysia meningkat 8.4 peratus kepada RM834.05 bilion berbanding tempoh sama tahun lepas manakala lebihan dagangan melonjak 76.6 peratus kepada RM48.45 bilion.

"Eksport naik 10.7 peratus kepada RM441.25 bilion manakala import meningkat 5.8 peratus kepada RM392.8 bilion," katanya.

Menurut MITI, dagangan dengan negara-negara rakan perjanjian perdagangan bebas naik 6.6 peratus kepada RM524.85 bilion, dengan eksport meningkat 8.6 peratus kepada RM282.57 bilion dan import menambah 4.3 peratus kepada RM242.27 bilion.

"Eksport ke negara-negara Asean naik 7.6 peratus kepada RM123.38 bilion dan import berkembang 4.4 peratus kepada RM103.41 bilion, mencatatkan jumlah dagangan sebanyak RM226.79 bilion yang menguasai 27 peratus bahagian jumlah dagangan.

"Eksport yang lebih tinggi ke Asean disumbangkan oleh produk petroleum, petroleum mentah, minyak sawit, kimia dan produk kimia serta barangan elektrik dan elektronik," katanya.


Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain