suria

Boeing Serah Pesawat Pengangkut 747-8 Freighter Kedua Kepada Silk Way Airlines

SINGAPURA: Boeing menyerahkan pesawat pengangkut 747-8 Freighter kepada Silk Way Airlines pada Jumaat selepas menyerahkan pesawat pengangkut pertama itu minggu lepas.


Kedua-dua pesawat berkenaan akan meningkatkan kecekapan kepada syarikat penerbangan kargo berpangkalan di Baku, Azerbaijan itu, kata Presiden SW Holdings, Zaur Akhundov dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Boeing di sini.

Beliau berkata, penyerahan pesawat 747-8 Freighter itu adalah langkah bijak ke arah meningkatkan perkhidmatan syarikat penerbangan itu di peringkat serantau dan antarabangsa.

Silk Way Airlines, anak syarikat SW Holdings, adalah satu daripada peneraju syarikat penerbangan kargo di rantau berkenaan, menyediakan perkhidmatan lengkap ke Eropah, Asia Barat dan Timur Jauh, termasuk Korea Selatan, China dan Hong Kong, katanya.

Di samping itu, syarikat penerbangan itu berkhidmat ke pelbagai destinasi antarabangsa melalui rangkaian perikatan, dengan menggunakan 747-400 Freighter dan 767-300 Freighter.

Naib Presiden Jualan Pesawat Komersil Boeing (Asia Barat, Rusia dan Asia Tengah), Marty Bentrott berkata 747-8 Freighter adalah pesawat pengangkut besar paling cekap dan kedua-dua pesawat baharu itu akan berkhidmat di sebahagian pasaran pertumbuhan pesat dunia.

"Dengan pesawat 747-8 Freighter baharu itu, syarikat penerbangan akan dapat beroperasi dengan kos paling rendah serta ekonomi terbaik dalam kelasnya di samping menambah baik prestasi alam sekitar," tambahnya.

Pesawat itu mampu memberi hasil lebih tinggi melalui keupayaan membawa kargo berbanding 747-400, manawarkan 16 peratus lebih volum kargo di samping mengekalkan pintu hidung ikoniknya.

Dengan lebih 340,000 jam perkhidmatan, 747-8 Freighter mencapai prestasi terbaik dengan pelanggan.

Setakat ini, Boeing telah menyerahkan 49 unit 747-8 Freighter. 

Boeing, Silk Way Airlines

Artikel Lain