suria

Pengeluaran Fleksibel 55 Tahun: Ahli KWSP Keluar RM1.81 Bilion

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM1.81 bilion dikeluarkan di bawah kemudahan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun pada suku kedua tahun ini berbanding RM1.77 bilion dalam suku yang sama tahun lepas, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

KWSP dalam satu kenyataan berkata, peningkatan bilangan ahli yang memilih kemudahan itu adalah sejajar dengan penurunan Jumlah Pengeluaran Sekali Gus kepada 46,485 orang daripada 48,927 orang dalam suku kedua tahun lepas.

Kemudahan Pengeluaran Fleksibel Umur 55 tahun itu juga mencatatkan kenaikan 23.97 peratus dengan 59,379 permohonan diluluskan dalam suku kedua daripada 47,897 dalam tempoh yang sama pada 2013.

"Kemudahan itu menawarkan peluang kepada ahli untuk mengeluarkan simpanan KWSP mereka apabila mencecah usia 55 tahun secara berkala dan bukan sekali gus," kata KWSP.

Sementara itu, KWSP berkata kemudahan Pengeluaran Perumahan mencatatkan bilangan permohonan dilulus tertinggi sebanyak 101,399 dalam suku kedua 2014, bernilai RM1.37 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, menasihatkan ahli agar menggunakan garis panduan Simpanan Asas untuk membantu mereka merancang dan menguruskan simpanan KWSP mereka dengan lebih baik.

Beliau berkata, amaun Simpanan Asas disemak semula, yang ditetapkan sebanyak RM196,800 sebagai amaun minimum ahli sekiranya mereka mencecah usia 55 tahun, membantu mereka menentukan keperluan simpanan minimum mereka mengikut usia.

"Ahli juga boleh mendapatkan nasihat daripada Perkhidmatan Khidmat Nasihat Persaraan kami di cawangan kami di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya," katanya.

Pada Jun 2014, Jumlah ahli KWSP meningkat kepada 14.05 juta di mana 6.57 juta merupakan ahli aktif yang terus menyumbang kepada simpanan persaraan mereka.

Bagi tempoh yang sama, 15,740 majikan baharu mendaftar menjadikan jumlah keseluruhan majikan yang berdaftar dengan KWSP sebanyak 525,932. 


Artikel Lain