suria

Syarikat Jepun Malaysia Jalin Usaha Sama Hasilkan Penerbitan Animasi

TOKYO: Syarikat berstatus Koridor Raya Multimedia (MSC), Creatvtoon Studios Sdn Bhd (Creatvtoon) dari Malaysia dan pembekal kandungan kreatif terkemuka Jepun P.I.C.S. Co Ltd (P.I.C.S.) menjalin usaha sama untuk menghasilkan kandungan kreatif dan menerbitkan siri animasi.

Memorandum Persefahaman (MoU) bagi usaha sama itu ditandatangani di sini oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif P.I.C.S. Shinichiro Nakaso dan Pengasas/Pengarah Creatvtoon, Ayie Ibrahim.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Shinichiro berkata usaha sama itu bertujuan menggabungkan kepakaran kedua-dua syarikat bagi menghasilkan kandungan kreatif yang menggunakan bahan cerita dari Malaysia dan Jepun.

"Saya harap usaha sama ini dapat dijadikan batu asas oleh syarikat penerbitan animasi Malaysia untuk meluaskan pasaran ke peringkat antarabangsa," kata Ayie.

Creatvtoon, syarikat penerbitan animasi 2D yang diasaskan Ayie pada 2010 terlibat dalam bidang animasi, kandungan kreatif dan latihan.

Syarikat ini pernah memenangi pelbagai anugerah termasuk Anugerah Animasi 2D Terbaik dan Pengarah Animasi Terbaik dalam Anugerah Karyawan Animasi Malaysia pada 2011.

Projek terbaharu syarikat tersebut ialah siri animasi Zerohero yang akan disiarkan pada 2015.

Sementara itu P.I.C.S. yang asalnya sebuah jabatan di bawah MTV Jepun, mula bergerak sebagai entiti bebas pada tahun 2000 dengan penglibatan aktif dalam bidang penerbitan iklan filem dan televisyen, video muzik, filem web, video konsert, drama televisyen dan filem cereka.

Syarikat itu kini menjadi sebahagian syarikat penerbitan filem Imagica Robot Holdings yang turut menyediakan kandungan kreatif untuk studio penerbitan di Iskandar Malaysia, Johor.

Usaha sama kedua-dua syarikat tersebut dalam bidang animasi ini adalah hasil inisiatif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), di bawah Dasar Industri Kreatif Malaysia.

"Usaha sama Creatvtoon dan P.I.C.S. adalah sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membantu syarikat Malaysia menghasilkan kandungan kreatif yang bermutu tinggi sejajar dengan matlamat Dasar Industri Kreatif Malaysia," kata Kamil Othman, Naib Presiden Multimedia Kreatif MDeC yang turut hadir pada majlis tersebut.


Jepun, Malaysia

Artikel Lain