suria

Romania Pelawa Syarikat Malaysia Melabur Projek Prasarana, Pembinaan

Carmen Liliana Burlacu
KUALA LUMPUR: Romania, negara terbesar di tenggara Eropah, mempelawa syarikat Malaysia untuk melabur dalam projek prasarana serta pembinaan seperti landasan kereta api serta lebuh raya di negara itu.

Setiausaha Negara Romania Untuk Hal Ehwal Global, Carmen Liliana Burlacu, berkata, ini kerana Malaysia mempunyai kepakaran dalam bidang terbabit.

"Kami ingin melihat teknologinya dilaksana di Romania, terutama dalam sektor prasarana serta tenaga," katanya di sidang akhbar sempena sambutan hubungan diplomatik Romania dengan Malaysia ke-45 di sini, Rabu.

Sektor lain yang dibuka untuk pelaburan asing ialah pertanian, makanan diproses, pelancongan, sektor elektrik dan elektronik serta minyak dan gas, katanya.

Burlacu berkata, pelaburan asing boleh dilakukan sama ada melalui usaha sama atau pemilikan 100 peratus.

"Walaupun pelabur utama Romania ialah Jerman, Belanda, Itali, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Jepun, kini kami memberi tumpuan kepada Asia Tenggara, terutama Malaysia," katanya.

Romania juga berminat berkongsi kepakaran dalam sektor tenaga, termasuk nuklear, thermo, hidro, angin serta teknologi solar.

"Langkah itu juga akan membantu usaha Romania memperbaiki hubungan dua hala serta pelaburan," katanya dengan menambah, pada separuh pertama tahun ini, perdagangan dua hala di antara kedua-dua negara mencecah US$96 juta.

Tahun lepas, perdagangan dua hala berjumlah lebih US$200 juta dan ia dijangka berkembang 10 peratus pada 2014.

Eksport Romania termasuk jentera, teknologi minyak dan gas, bahan mentah, perabot berkualiti tinggi, pakaian dan kasut, produk IT, antibiotik serta ubat-ubatan, manakala eksport Malaysia termasuk komponen elektronik, minyak sawit dan biodiesel.

Sementara itu, Duta Romania ke Malaysia, Constantin Nistor berkata, selain perdagangan, negara itu berminat dalam pertukaran kebudayaan, terutama pendidikan dan pelancongan.

"Kini terdapat kira-kira 200 warga Malaysia di Romania, kebanyakannya pelajar perubatan dan bidang lain seperti kejuruteraan serta minyak dan gas," katanya.

Pelancongan adalah bidang lain yang sedang diteroka kerajaan negara itu dengan Malaysia, kata Nastor.

"Romania adalah pusat pelancongan terkenal kepada sesiapa yang berminat dalam sejarah, percutian serta aktiviti outdoor seperti memburu dan memancing," katanya.

Pada tahun lepas, lebih 8,000 pelancong Romania melawat Malaysia, iaitu dua kali ganda berbanding pelancong Malaysia ke negara berkenaan.

"Kami menganggarkan 10,000 pelancong Romania melawat Malaysia berbanding 6,000 rakyat Malaysia ke Romania menjelang akhir 2014," tambahnya.

Artikel Lain