suria

Pameran Produk, Budaya Malaysia Di Qingdao Tarik 500,000 Pelawat

BEIJING: Pameran Produk dan Budaya Malaysia selama 10 hari di Bandaraya Qingdao di wilayah Shandong, timur China berjaya menarik kira-kira 500,000 pelawat.

Acara yang diadakan pada 6 hingga 15 Ogos itu bertujuan menawarkan pengalaman lebih baik mengenai budaya, produk dan perkhidmatan Malaysia kepada penduduk di bandar raya berkenaan, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam satu kenyataan, Selasa.

Menurutnya, sebagai sebahagian daripada Program Dapur Malaysia (PDM), acara itu bukan sahaja menyepadukan pelbagai bidang jenama Malaysia seperti makanan, pelancongan, pendidikan dan pertanian, tetapi juga memperkenalkan pelbagai jenama Malaysia kepada China dan menggalakkan perdagangan di antara kedua-dua negara.

Duta Malaysia ke China, Datuk Iskandar Sarudin, menyifatkan makanan sebagai elemen penting PDM yang berjaya memperkenalkan Malaysia dan budayanya kepada penduduk China.

"Kami menggunakan makanan bagi mempereratkan hubungan di antara Malaysia dan China. Rakan di China akan mengetahui negara dan budaya kita dengan lebih baik apabila mereka merasai keenakan makanan Malaysia," katanya ketika majlis perasmian pameran itu.

Pameran Produk dan Budaya Malaysia dianjur secara bersama oleh Matrade dan Qingdao Parkson Group.

Kaunselor Perdagangan Matrade di Beijing, Shawn Sim Kok Aun; Pengarah China Parkson Retail Group wilayah Shandong, Louis Chai; Pengurus Besar Serantau China Parkson Retail Group, Wang Xing Tang dan Pengurus Exhibitor-Regal Plus (Beijing) Company Limited, Loh Wee Ken, turut hadir di majlis berkenaan.

Program Dapur Malaysia adalah inisiatif global kerajaan Malaysia yang bertujuan mempromosi restoran Malaysia di seberang laut dengan mewujudkan permintaan untuk masakan Malaysia.

Ini dapat dilakukan melalui program promosi bersepadu, holistik serta pelbagai serampang dengan kerjasama pengusaha restoran.

Selain Beijing, Qingdao adalah destinasi kedua PDM di China.


Malaysia, Qingdao

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain