suria

Usahawan Felda Catat Jualan RM1.33 Bilion Tujuh Bulan Pertama Tahun Ini

Dari kiri, Mohd Azhar Abdullah (Usahawan Harapan) ) Arsenia@ Nur Arsyi Banglos (Usahawan Innovasi ), Mohd Hairyzul Yahaya (usahawan Wawasan) pada majlis penyampaian anugerah Usahawan Felda di Melaka, Jumaat.
ALOR GAJAH: Usahawan Felda di negara ini telah berjaya mencatat jualan produk bernilai RM1.33 bilion dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, kata Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata, angka itu memberangsangkan bagi 21,705 usahawan Felda mencapai sasaran jualan RM2.1 bilion menjelang akhir tahun ini.

Katanya, usahawan Felda telah berjaya mencapai peningkatan jualan kepada RM2.29 bilion tahun lepas berbanding RM1.59 bilion pada 2012.

"Sememangnya kita mahu mencapai jualan lebih daripada sasaran RM2.1 bilion itu tetapi bagi mencapai sasaran ini, kita perlu meneroka lebih banyak pasaran di luar negara.

"Setakat ini jualan luar negara hanya kira-kira 20 peratus daripada nilai jualan setiap tahun dan tahun depan kita harap dapat tambah kepada 40 atau 50 peratus," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Sebelum itu beliau menghadiri Simposium dan Ekspo Usahawan Felda yang dirasmikan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Isa berkata, sehingga kini Felda telah berjaya membawa produk usahawannya menembusi pasaran Emeriah Arab Bersatu (UAE) dan sedang dalam usaha menembusi pasaran China.

Selain itu, katanya, Felda akan menyertai lebih banyak ekspo di luar negara, termasuk Singapura.

"Antara produk tumpuan kita ialah makanan halal yang mempunyai pasaran yang luas di mana di UAE karipap dan ubi ketuk mendapat sambutan menggalakan," katanya.


Artikel Lain