suria

Mapex Pulau Pinang Unjur Catat Jualan RM130 Juta

GEORGE TOWN: Pameran Hartanah Malaysia (Mapex) Pulau Pinang dijangka mencatat jualan lebih RM130 juta pada acara tiga hari itu yang dijadual berlangsung mulai 26 September 2014 di Subterranean Penang International Conference & Exhibition Centre, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa penganjur Mapex Pulau Pinang, Ng Chin-U berkata, pameran itu setakat ini telah menarik 16 pemaju yang akan mengisi 30 ruang pameran.

"Ini merupakan kali kedua pameran ini diadakan tahun ini berikutan permintaan yang tinggi. Kami berharap dapat mencatat jualan yang tinggi melebihi RM130 juta," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Beliau berkata, Mapex Pulau Pinang yang berlangsung pada Februari tahun ini mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM130 juta.

Mapex Pulau Pinang dianjurkan bersama oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Pulau Pinang dan Henry Butcher Malaysia Pulau Pinang.

Chin-U menggesa pembeli yang masih mencari rumah impian mereka supaya mengunjungi Mapex Pulau Pinang yang akan menampilkan kebanyakannya hartanah kediaman pada harga antara dari RM200,000 hingga RM15 juta.

"Walaupun kebanyakan hartanah tersebut di Pulau Pinang, terdapat juga pemaju yang menawarkan hartanah di Lembah Klang dan Johor," kata beliau sambil menambah yang pakej jualan istimewa turut ditawarkan pada pameran itu.

Beliau berkata, walaupun kelembapan permintaan hartanah baru-baru ini, hartanah kediaman pada harga antara RM600,000 hingga RM800,000 sangat dicari-cari, terutama di Pulau Pinang.

Beliau berkata, peserta baru termasuk Eco World Development Sdn Bhd, Asas Dunia Bhd dan MTT Properties and Development Sdn Bhd.

Peserta lain termasuk Setia Promenade Sdn Bhd, IJM Properties Sdn Bhd, Chong Co Sdn Bhd, Sunway Grand Sdn Bhd, Ivory Properties Group Bhd, Tambun Indah Land Bhd, Tropicana Macalister Avenue Sdn Bhd, Palmex Industries Sdn Bhd, Inspirasi Elit Sdn Bhd dan Plenitude Bayu Sdn Bhd.


Artikel Lain