suria

Tiga Nama Disebut-sebut Ketuai MAS

Datuk Seri Jamaluddin Ibrahim antara nama yang disebut-sebut bakal menerajui MAS

PETALING JAYA: Kini tiga nama tokoh korporat telah disebut-sebut sebagai peneraju baru Penerbangan Malaysia (MAS).

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga bekas Pengarah Urusan MAS, Datuk Seri Idris Jala, Datuk Seri Jamaluddin Ibrahim (presiden Kumpulan Axiata) dan Datuk Seri Shazalli Ramly (ketua pegawai eksekutif Celcom Axiata).

Bagaimanapun Idris dengan segera menjelaskan bahawa beliau tidak akan kembali ke pangkuan MAS buat masa ini dan akan meneruskan tugasnya yang belum selesai dalam kerajaan. 

Jamaluddin buat masa ini tidak menyatakan sebarang reaksi sejak namanya disebut tersenarai sebagai salah seorang calon tetapi ramai yang ingin melihat beliau diberi mandat untuk menerajui MAS kerana kejayaannya menjadikan Kumpulan Axiata sebagai satu jenama global.

Nama Shazalli pula memang pernah muncul sebelum ini - jauh sebelum Ahmad Jauhari Yahya mengambil alih pengurusan MAS pada 2011. Tempoh perkhidmatan Ahmad Jauhari akan tamat pada 19 September ini.

Untuk MAS, seorang pakar atau guru jenama sangat-sangat diperlukan untuk penjenamaan semula syarikat penerbangan itu setelah ia ditimpa malang bersilih ganti yang menyaksikan 537 penumpang dan anak kapal terkorban atau masih hilang dalam tempoh empat bulan - sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini kepada mana-mana syarikat penerbangan antarabangsa.

Sejak sedekad yang lalu, MAS telah menukar ganti tidak kurang dari lima ketua pegawai eksekutifnya dalam usaha untuk mengembalikan keuntungan syarikat itu tetapi masih gagal.

Maka itu pada 8 Ogos lalu, Khazanah Nasional Bhd iaitu pemegang saham terbesar MAS telah mengumumkan yang ia bercadang untuk membawa keluar syarikat penerbangan negara itu dari senarai awam dan menjadikannya sebuah entiti sendirian berhad bagi membolehkan eksesais pemulihan dilaksanakan.

Khazanah bercadang untuk menawarkan 27 sen sesaham kepada pemegang-pemegang saham minoriti yang mana keseluruhan proses ini akan menelan belanja sebanyak RM1.38 bilion.

Adalah dijangkakan yang Khazanah akan mengumumkan perancangan masa depannya untuk MAS menjelang minggu depan.

Terdapat desas-desus yang mengatakan keseluruhan pengurusan tertinggi MAS akan diganti.

Alasannya ialah, dengan ini sahaja maka proses pengurangan kos pengurusan, kebebasan untuk melakukan pengurangan kakitangan dan juga proses melihat semula kontrak-kontrak yang membebankan MAS akan dapat dilakukan tanpa ada latarbelakang atau sentimen masa lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain