suria

Program Sokongan Untuk Perniagaan Mendaftar Awal GST

KUALA LUMPUR: Syarikat yang mendaftar awal untuk skim cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan diberikan keutamaan mengikuti program sokongan, latihan berasaskan sektor, mulai Oktober bagi menyediakan dan membantu perniagaan melaksanakan GST.

Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy berkata, jabatan itu menyasarkan mendaftar 123,000 syarikat untuk GST menjelang akhir September.

Syarikat itu akan dibahagikan kepada 19 sektor, daripada runcit sehingga perkhidmatan dan pengangkutan untuk program sokongan memandangkan setiap sektor mempunyai isu khusus untuk ditangani, katanya kepada Bernama di luar program kesedaran dan latihan GST, di sini, Rabu.

Subromaniam berkata, tidak seperti program hari ini yang dilakukan dalam bentuk umum, program sokongan mengikut sektor selama dua atau tiga hari akan membincangkan isu-isu khusus.

Beliau berkata, sehingga hari ini, 10,127 daripada lebih 300,000 syarikat yang perlu menyertai skim GST, mendaftar dengan Jabatan Kastam.

"Lapan puluh peratus daripada perniagaan itu terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana, kebanyakannya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan," katanya.


Artikel Lain