suria

Axis Reit Sedia Untuk GST

KUALA LUMPUR: Pengurus amanah, Axis REIT Managers Bhd, yang sudah bersedia untuk pelancaran cukai barang dan perkhidmatan (GST), berkata sistem percukaian baharu itu memberi impak neutral kepada amanah pelaburan hartanah (REIT).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Stewart LaBrooy berkata Axis REIT kini mengguna pakai sepenuhnya sistem GST yang sudah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Kami telah terlibat secara aktif dengan Persatuan Pengurus REIT Malaysia dan sudah berbincang dengan Kastam untuk menangani beberapa perundangan yang kurang jelas," katanya pada sidang media selepas taklimat mengenai keputusan suku kedua amanah itu di sini, Isnin.

Pemangku Ketua Pegawai Operasinya Leong Kit Mei berkata GST hanya memberi kesan minimum ke atas Axis REIT dari segi pemerolehan aset memandangkan regim percukaian baharu itu membolehkannya menuntut semula selepas 14 hari pembayaran dibuat.

"REIT membayar cukai perkhidmatan ke atas beberapa fi perundingan dan yuran pengurusan yang ditanggungnya.

"Namun sebaik GST dilaksanakan, apa sahaja cukai enam peratus yang kita bayar, boleh dituntut semula sebagai cukai input (dan ini akan) memasuki semula ke dalam sistem itu," katanya.

Dalam perkembangan lain, LaBrooy berkata Axis REIT menyasarkan untuk memperoleh aset di Johor, terutama di kawasan perindustrian utama seperti Senai serta kawasan perindustrian lama yang boleh dibangunkan semula.

Beliau berkata Axis REIT juga akan memperoleh aset bernilai RM472 juta, dengan tiga daripadanya terletak di Shah Alam dan setiap satu di Johor dan Prai, Pulau Pinang.

Bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2014, Axis REIT mencatat keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM21.89 juta berbanding RM24.38 juta pada suku yang sama tahun lepas.

Pendapatan susut kepada RM35.09 juta daripada RM35.48 juta sebelumnya. 


Axis Reit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain