suria

Syarikat M'sia Digesa Pandang Serius Pengurusan Krisis

KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan perlu memandang serius keupayaan pengurusan krisis mereka selepas dua insiden penerbangan baru-baru ini yang menyebabkan Malaysia dan peserta industri berkaitan menjadi tumpuan dan pemerhatian antarabangsa, kata seorang pakar komunikasi.

"Syarikat Malaysia dan kepimpinan utama mereka perlu lebih banyak melabur dalam membina dan mengukuhkan kesediaan krisis dan mekanisme tindak balas mereka.

"Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), khususnya, perlu keluar daripada zon selesa mereka dan bersedia untuk menguji 'crisis quotient' mereka menerusi simulasi mengejut yang diadakan sekurang-kurangnya dua kali setahun," kata CEO Perception Management Sdn Bhd, Kishore Ravuri.

Pasukan pengurusan risiko korporat mempunyai peranan dalam meningkatkan jangkaan dan persediaan CEO terhadap semua risiko berkaitan dengan perniagaan mereka masing-masing, katanya.

"Hakikatnya, walaupun dasar pengurusan krisis diuji setiap tahun menerusi simulasi, banyak syarikat tempatan jarang menyemaknya bagi meminda proses-proses yang telah lapuk dan senario yang jauh daripada kenyataan.

"Jika dilaksanakan dengan betul, pengurusan krisis boleh membantu perniagaan mendapatkan manfaat pembabitan pemegang kepentingan, yang boleh melindungi kepentingan korporat walaupun dalam krisis yang paling teruk," katanya.

Memetik insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370, yang meletakkan negara di bawah perhatian dunia dengan menerima banyak kritikan, Kishore berkata ia mendedahkan beberapa keadaan "tidak bersedia" dan "kedudukan lemah" wakil jurucakap.

Penerbangan MH370 yang menuju ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, diumumkan hilang oleh pihak berkuasa selepas meninggalkan Kuala Lumpur pada 8 Mac, 2014.

"Pelaksanaan pengurusan krisis dan pelan komunikasi MAS yang tidak teratur, kalaupun ia ada, dilihat sebagai satu yang mengecewakan daripada perspektif perhubungan awam.

"Pengenalpastian dan mobilisasi jurucakap yang sesuai di tempat dan masa yang sesuai, dan kesediaan mereka untuk menangani risiko berkaitan dengan perniagaan mereka, menjadi satu yang amat kritikal dalam dunia yang global ini. Ini pada asasnya merupakan yang gagal dalam kes MH370," kata Kishore.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, krisis dalam situasi seumpama itu merupakan satu fenomena yang jarang berlaku.

Malaysia dan syarikat tempatan boleh mengambil iktibar daripada episod tersebut dan di masa depan, menjadikan krisis sebagai satu peluang untuk menunjukkan kepimpinan, kesediaan bagi menangani kecenderungan media antarabangsa dan pelbagai pemegang kepentingan serta taktik dan kecanggihan komunikasi, katanya. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain