suria

MAS Perlu Tumpu Laluan Antarabangsa Sahaja

KUCHING: Syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines (MAS) disaran hanya menumpukan perhatian kepada laluan penerbangan antarabangsa jika bercadang melaksanakan penstrukturan semula pelan perniagaan mereka.

Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata beliau melihat MAS memerlukan laluan-laluan khusus dalam usaha untuk mendapatkan hasil yang lebih baik memandangkan ketika ini syarikat penerbangan itu tidak mempunyai sumber hasil.

"MAS perlu memberi tumpuan kepada laluan penerbangan antarabangsa dan laluan itu pula perlu bersambung dengan syarikat penerbangan serantau lain. Saya melihat usaha ini dapat dilakukan kerana mereka (MAS) mempunyai Maswings, saya cadangkan MAS pisahkan Maswings, biarkan Maswings menjadi syarikat penerbangan serantau atau jet serantau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri, di sini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kaedah perniagaan yang sama telah dilakukan oleh Singapore Airlines yang menghubungkan laluan penerbangan syarikat itu dengan Silk Air.

"Apabila Maswings menjadi syarikat penerbangan serantau atau jet serantau, MAS boleh menumpukan kepada laluan utama. Penstrukturan semula dengan model perniagaan yang berbeza diperlukan syarikat penerbangan negara itu.

"Jika model perniagaan ini dilaksanakan, barulah MAS boleh fokus dan meraih hasil.

"Kerana jika Maswings menjadi syarikat penerbangan serantau atau jet serantau, Sarawak dan Sabah mungkin menimbang mengambil alih pegangan tertentu, ini bermakna MAS tidak perlu menanggung kos bersendirian kerana kos telah ditanggung secara bersama," katanya.

Abang Johari berkata Sarawak memiliki produk ekopelancongan menarik di seluruh negeri dan dengan kemampuan Maswings, negeri itu tidak teragak-agak untuk memiliki kepentingan dalamnya.

"Sepanjang empat bulan pertama tahun ini, seramai 1.9 juta pelancong sudah melawat negeri ini, meningkat tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun ini. Ini sedikit sebanyak memberi gambaran jelas tarikan Sarawak kepada pelancong," katanya.


MAS, Sarawak, MASwing

Artikel Lain