suria

Takaful Unjur Jualan RM20 Juta Menerusi Produk Manfaat Pekerja

KUALA LUMPUR: Syarikat Takaful Malaysia Bhd mengunjurkan jualan RM20 juta pada akhir tahun depan, didorong oleh produk Takaful Manfaat Pekerja bagi perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS).

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Mohamed Hassan Kamil berkata, sasaran positif itu turut didorong oleh prestasi Takaful myHealth Protector yang terjual sebanyak 10,000 polisi semenjak ia dilancarkan pada Januari tahun ini.

Menurutnya, produk Manfaat Pekerja bagi PKS, di bawah cabang perniagaan Takaful Keluarga yang bakal dilancarkan pada Disember tahun ini dijangka menerima sambutan yang sama daripada pasaran.

Mohamed berkata demikian kepada media selepas aktiviti membeli-belah bersama penghuni rumah Al-Nasuha di sini, Selasa.

Menurutnya, Takaful Keluarga adalah penyumbang terbesar kepada keuntungan Takaful Malaysia dengan sumbangan 65 peratus berbanding 35 peratus oleh Takaful Am.

Ditanya mengenai prestasi Takaful Malaysia bagi suku kedua, beliau berkata syarikat berkenaan akan mengekalkan pertumbuhan prestasi kewangannya seperti suku pertama tahun ini.

Keuntungan sebelum cukai Takaful Malaysia bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2014 meningkat sebanyak 11 peratus kepada RM44.696 juta daripada RM40.246 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil bagaimanapun menyusut kepada RM432.024 juta berbanding RM519.531 juta sebelum ini disebabkan jualan yang lebih rendah oleh perniagaan Takaful Keluarga.

Takaful Malaysia mempunyai 30 pusat perkhidmatan di seluruh negara dengan jumlah aset sebanyak RM6.9 bilion di peringkat kumpulan.

Sementara itu, menerusi program tanggungjawab korporatnya (CSR), Takaful Malaysia telah menganjurkan aktiviti membeli-belah bersama 64 kanak-kanak dari Pertubuhan Anak Yatim Al-Nasuha.

"Inisiatif CSR ini juga telah menjadi aktiviti yang amat dinantikan oleh kakitangan Takaful Malaysia dengan penglibatan mereka sebagai sukarelawan.

"Kami mahu memberi anak-anak rumah Al-Nasuha ini peluang untuk mendapat pengalaman persediaan menyambut Syawal, lebih daripada menerima sumbangan," katanya.


Artikel Lain