suria

Produk Pertanian Malaysia Jadi Tarikan Di New York

NEW YORK: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapat perhatian dengan jualan produk pertanian Malaysia pada pameran tiga hari yang sedang berlangsung, 'New York Fancy Food Show' (NYFFS) yang sering kali digambarkan sebagai barometer pantai timur untuk mengukur permintaan produk pertanian dari seluruh dunia.

Setiausaha Kedua (Pertanian) Kedutaan Malaysia di Washington, Nor Syareena Yem, berada di NYFFS di mana produk-produk Malaysia itu dipamerkan.

"Malaysia merupakan antara empat pengeksport utama makanan laut ke Amerika Syarikat (AS) malah udang Malaysia sangat popular di AS. Kita juga berhasrat untuk meningkatkan eksport ikan tilapia ke AS yang sememangnya merupakan pasaran yang baik untuk semua jenis makanan laut.

"Kita juga ingin mengeksport buah-buahan tempatan seperti rambutan, nangka, nanas dan buah belimbing sebaik sahaja Jabatan Makanan dan Pertanian AS (DFA) memberi kelulusan," katanya.

Nor Syareena berkata buah-buahan ini yang sangat popular di China dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dijangka mendapat sambutan luar biasa di AS dan pembekal Malaysia harus berusaha untuk meningkatkan pengeluaran sebaik sahaja selepas pasaran di negara itu dibuka.

Pakar meramalkan walaupun eksport kelapa sawit Malaysia ke AS berjalan dengan baik tetapi minyak itu semakin dicabar oleh populariti minyak kelapa yang mendapat kredit mengenai manfaat kesihatannya dalam beberapa jurnal perubatan dan kajian penyelidikan.

Penglibatan pihak kementerian dalam NYFFS telah disusun oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), yang seterusnya telah melantik pertubuhan yang dikenali sebagai ASIA Etc untuk membawa penyertaan mereka di pameran perdagangan itu. ASIA Etc turut membantu mempromosikan eksport produk-produk pertanian Malaysia.

"Kami juga akan mempamerkan pelbagai produk yang ditawarkan oleh Asian Meals jenama makanan Malaysia dan akan mempamerkan barangan makanan seperti mi, jem, kepingan kelapa, cip nanas dan kerepek nangka.

"Kami menerima pertanyaan yang baik di pameran ini untuk produk-produk makanan yang sedia dimakan yang popular di Amerika Utara kerana peningkatan populasi Asia dan Cina.

"Kami juga telah menerima pertanyaan perniagaan dari pengimport Arab Saudi yang telah menunjukkan minat untuk membawa masuk kerepek, jem dan lain-lain dari Malaysia," kata Nor Syareena.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi, permintaan daripada pengguna AS akan meningkat akan mereka bersedia untuk membeli produk-produk pertanian dari luar.

"AS akan kekal sebagai pasaran yang menarik untuk eksport pertanian," katanya lagi.

Eksport produk-produk pertanian ke Amerika Syarikat termasuk minyak sawit, berjumlah RM5.117 bilion pada tahun 2013.


New York

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain