suria

Asean Dipelawa Manfaat Pengalaman, Kepakaran Jepun

TOKYO: Jepun percaya kemajuan teknologi dan kepakaran yang dimilikinya dalam pelbagai bidang boleh dimanfaatkan dan dikongsi negara anggota Asean, kata Presiden Pusat Akhbar Asing Jepun (FPCJ) Kiyotaka Akasaka.

Beliau berkata kawalan bencana dan cara membangunkan semula kawasan yang dilanda bencana alam seperti tsunami, banjir dan gempa bumi adalah satu daripadanya.

"Di samping itu, terdapat banyak lagi...seperti perlindungan alam sekitar, kawalan pencemaran air, pengurusan sisa, teknologi perubatan dan penjimatan tenaga yang dilakukan secara agak intensif di Jepun," katanya ketika meraikan sekumpulan wartawan Asean dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand pada majlis makan tengah hari di Bangunan Nippon Press Centre di sini.

Empat wartawan itu mengikuti program zamalah 10 hari mengenai "Recovery from the Great East Japan Earthquake - Sharing Tohoku's Revitalisation Using Marine Resources with Asia" anjuran FPCJ.

Program yang berakhir pada 25 Jun itu mendapat sokongan The Nippon Foundation dan Toshiba International Foundation.

FPCJ adalah sebuah organisasi bebas bukan bertujuan mencari keuntungan yang ditubuhkan pada Oktober 1976 untuk memudahkan pengumpulan berita oleh akhbar asing di Jepun dan penyebaran maklumat dari Jepun ke negara lain melalui media.

Menyentuh perkara berasingan, Akasaka berkata hotel di Tokyo semakin sedar tentang keperluan menghidangkan makanan Halal di restoran masing-masing dalam usaha mempromosi pelancongan halal/Islam.

"Kami perlu mempunyai lebih banyak hotel yang menghidangkan makanan halal dan perkara ini semakin disedari.

"Kami akan mengadakan Sukan Olimpik Tokyo pada 2020 dan sejajar dengan itu, hotel di sini amat sedar bahawa untuk menarik kedatangan komuniti Islam, hotel perlu menyajikan makanan halal," katanya.


Jepun

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain