suria

Bosch Group Sasar Jualan Global Asia Pasifik Naik 30 Peratus

Martin Hayes

PETALING JAYA: Robert Bosch (Southeast Asia) Pte Ltd (Bosch Group) menjangka penguasaan jualan global di Asia Pasifik meningkat sebanyak 30 peratus pada 2015.

Presiden dan Pengarah Urusannya Martin Hayes berkata, kumpulan juga berharap Asia Pasifik akan menyumbang 60 peratus kepada jumlah jualan di seluruh dunia menjelang 2020 berbanding 24 peratus pada masa ini.

"Bosch mempunyai tiga strategi untuk mencapai matlamat ini, pertama, memberi tumpuan kepada kepelbagaian, di mana kita telah memperluaskan segmen dalam automotif, pengguna dan teknologi perindustrian serta bangunan.

Strategi kedua pula adalah pengantarabangsaan 150 pasaran di seluruh dunia dan akan berkembang melangkauinya. Kami juga mengalihkan tumpuan dari hab-hab pusat di Kuala Lumpur untuk berkembang ke kawasan lain, terutamanya ke Indonesia dan Filipina.

"Strategi akhir ialah mencatatkan tanda aras untuk menilai kekuatan inovasi kami," kata Hayes pada taklimat media di sini, Selasa.

Beliau berkata Bosch Group yang merupakan peneraju global dalam membekal teknologi dan perkhidmatan, mempunyai 45,000 pekerja dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan telah menghasilkan 5,000 paten tahun lepas.

"Kami telah banyak melabur dalam R&D, di mana kami membuat pelaburan sejumlah 4.5 bilion euro, dari situ, kita akan dapat lihat kekuatan yang Bosch akan bawa dari segi teknologi untuk membantu pelanggan dan pengeluar peralatan yang tulen," katanya.

Mengenai pasaran Malaysia, beliau berkata, ia adalah salah satu pasaran yang penting kerana ia merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada pertumbuhan jualan di Asia Tenggara.

"Tahun lepas, kami mencatat jualan berjumlah RM485 juta dan Malaysia mempunyai bilangan pekerja yang terbesar iaitu seramai 2,100," katanya.

Bosch mempunyai dua kilang yang besar di Pulau Pinang iaitu untuk sistem multimedia kereta dan pembuatan peralatan kuasa.

Kilang-kilang ini bukan sahaja menghasilkan peralatan untuk pasaran Malaysia dan Asia Tenggara tetapi untuk seluruh dunia, katanya.

Bosch wujud di Malaysia sejak tahun 1923 lagi dan diwakili oleh Robert Bosch Sdn Bhd yang mempunyai pejabat di Selangor dan Pulau Pinang.

Di Malaysia, kumpulan aktif dalam bidang teknologi automotif, teknologi industri, peralatan kuasa dan teknologi bangunan.

Bosch

Artikel Lain