suria

Econpile Labur Hampir RM15 Juta Beli Peralatan, Jentera Susulan IPO

Dari kiri: Pang menyaksikan Prospektus Econpile bersama Ketua Perkhidmatan Korporat dan Pelaburan Perbankan Kumpulan RHB Investment Bank Berhad, Ong Ju Yan; Pengerusi Enopile, Krishan A/L C.K. Menon dab Pengarah Urusan Kumpulan, The Cheng Eng.
KUALA LUMPUR: Pakar cerucuk dan pembinaan asas terkemuka di Malaysia, Econpile Holdings Bhd, merancang untuk memperuntukkan RM14.58 juta daripada hasil yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan untuk memperoleh peralatan dan jentera untuk melaksanakan perkhidmatannya.

Syarikat yang bakal disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada akhir bulan ini, Econpile dijangka meraih RM48.60 juta.

Baki RM18.16 juta akan dimanfaatkan sebagai modal kerja manakala RM12.15 juta dan RM3.71 juta akan digunakan, masing-masing bagi pembayaran semula pinjaman bank dan perbelanjaan penyenaraian.

Mengenai rancangan pengembangan masa depan, Pengarah Eksekutifnya, Raymond Pang Sar berkata, syarikat akan kekal fokus terhadap Malaysia berikutan potensi pertumbuhan sektor berkenaan.

"Terdapat banyak ruang pengembangan dan pada masa ini, kami mahu mengekalkan margin dan bahagian pasaran kami yang kini pada 13 peratus," kata beliau kepada pemberita selepas pelancaran prospektus IPO Econpile di sini, Rabu.

Syarikat akan terus mengembangkan perniagaanya dalam pasaran perkhidmatan pembinaan cerucuk dan kerja asas.

Pang berkata, kontrak dalam tangan syarikat berjumlah RM450 juta, disumbangkan oleh sektor pembangunan hartanah dan infrastruktur manakala tender bernilai kira-kira RM2 bilion.

"Kontrak dalam tangan kami kini mengisi kerja syarikat selama setahun hingga dua tahun," katanya.

Econpile menerbitkan 90.0 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk jualan 55.0 juta saham vendor, pada 54 sen sesaham.

Sebanyak 90.0 juta saham baharu itu terdiri daripada 27.0 juta saham bagi orang ramai manakala 3.5 juta untuk pengarah dan pekerja kumpulan.

Syarikat juga memperuntukkan 47.5 juta saham untuk tawaran persendirian dan 12.0 juta bagi tawaran persendirian pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Econpile terlibat dalam pelbagai projek cerucuk dan pembinaan asas dalam negara termasuk di Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Kami kini meninjau untuk projek-projek di Melaka dan telah menerima pertanyaan dari Ipoh dan Labuan (bagi pembinaan cerucuk dan asas," katanya.


Artikel Lain