suria

Teraju, Might Bakal Jalin Kerjasama Bantu Belia Bumiputera

KUALA LUMPUR: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bakal menjalin lebih banyak kerjasama dengan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) bagi membantu belia Bumiputera memasarkan hasil ciptaan mereka dan seterusnya mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Program Koridor Ekonominya, Bestari Abrar Nasiruddin berkata, Teraju telah menjalinkan kerjasama dengan MaGIC bagi menggunakan fasiliti pusat inovasi tersebut untuk melatih pemenang Skim Permulaan Usahawan Bumiputera(SUPERB).

"Pada masa akan datang, kita akan meningkatkan kerjasama bagi membawa hasil inovasi pemenang SUPERB ke peringkat antarabangsa.

"Kita sedang mengenal pasti program dan aktiviti bagi membuka peluang kepada belia Bumiputera untuk ke pasaran antarabangsa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Melalui SUPERB, Abrar berkata dengan peruntukan geran berjumlah RM30 juta oleh kerajaan tahun ini, usaha hasil gandingan Teraju dan MaGIC akan membuka pintu kepada golongan berkenaan dalam merealisasikan impian mereka.

Menurut Bestari Abrar, siri pertama SUPERB menampilkan 13 pemenang dengan peruntukan geran sebanyak RM6.2 juta, dan bagi siri kedua, akan peruntukannya dijangka menyamai siri pertama.

Mengulas mengenai penyertaan SUPERB siri kedua, Bestari Abrar berkata ia meliputi pelbagai sektor.

Bagaimanapun, penyertaan tertinggi adalah dari sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), diikuti pertanian dan kejuruteraan, katanya.

"Penyertaan peserta berbeza mengikut kawasan. Kawasan tengah lebih menjurus kepada ICT, manakala kawasan Pantai Timur lebih menjurus kepada pertanian dan kejuruteraan seperti tenaga boleh diperbaharui," jelas beliau.

Sebanyak 1,791 usahawan Bumiputera mendaftar untuk program SUPERB siri pertama dan sebanyak 1,733 belia Bumiputera telah menghantar penyertaan untuk siri kedua yang dibuka sehingga 16 Mei lepas.

Diperkenalkan pada 27 Januari lalu, SUPERB merupakan inisiatif terkini Teraju dalam melahirkan individu bumiputera untuk memulakan perniagaan dengan idea yang kreatif serta inovatif.

Katanya, bagi siri kedua Superb, Teraju akan bekerjasama dengan 10 agensi pembiayaan dana berbanding enam agensi pada siri pertama yang lalu.

"Kerjasama dengan 10 agensi berkenaan adalah untuk memastikan geran itu diberikan secara berperingkat agar ianya memenuhi objektif sebenar Teraju di samping memudahkan urusan pemantauan peserta," katanya.

Usaha sama 10 agensi tersebut turut membantu pemenang SUPERB untuk mengakses kepada lebih banyak dana kerana had geran yang diberi kepada pemenang adalah RM500,000.

Teraju, Might, Magic

Artikel Lain