suria

Tabung Haji Catat 8.4 Juta Pendeposit

Abdul Malik Kahar 82, dari Kamunting Taiping antara pendeposit terawal Tabung Haji sejak 1963 menunjukkan kad debit islamik pada pelancarannya, Khamis.
KUALA LUMPUR: Tabung Haji mencatatkan seramai 8.4 juta pendeposit setakat akhir Mei tahun ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata, bilangan pendeposit itu membabitkan jumlah simpanan melebihi RM48 bilion.

"Tabung Haji sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pendeposit. Banyak penambahbaikan serta transformasi dari segi operasi serta perkhidmatan, simpanan dan haji telah dilaksanakan.

"Bilangan pendeposit juga telah meningkat kepada seramai 8.4 juta orang dengan jumlah simpanan melebihi RM48 bilion pada akhir Mei 2014. Ini merupakan pencapaian yang amat membanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Haji Debit-i Mastercard, Buku Coffee Table dan Pusat Perkhidmatan dan Kewangan Islamik (IFiC) di Ibu Pejabat Tabung Haji di sini, Khamis.

Ia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Turut hadir Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Mengenai kad debit islamik yang baharu, Jamil Khir berkata, ia merupakan kerjasama dengan MasterCard Malaysia dan Bank Rakyat.

Tambahnya, ia berfungsi seperti wang tunai atau cek peribadi di mana setiap pembelian dan transaksi akan dibayar terus dari akaun simpanan Tabung Haji.

"Kad ini membolehkan pendeposit untuk akses simpanan Tabung Haji. Kad ini membolehkan pendeposit untuk mengakses ke akaun masing-masing dengan lebih mudah dan selamat.

"Kami juga percaya, kad ini nanti akan turut memberi kemudahan kepada jemaah haji dan umrah untuk berurusan semasa di Tanah Suci," katanya.

Tabung Haji Debit-i Mastercard boleh digunakan di lebih 2.5 juta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kemudahan membeli-belah di 38 juta premis perniagaan yang menerima MasterCard di seluruh dunia.

Permohonan untuk kad ini boleh dibuat bermula 9 Jun di semua kaunter Tabung Haji seluruh negara.

Tabung Haji, kad debit islamik

Artikel Sebelum

Artikel Lain