suria

Perodua, Daihatsu Labur RM600 Juta Untuk Kilang Enjin Baharu

Aminar Rashid
KUALA LUMPUR: Perodua dan Daihatsu Motor Co, Jepun akan melabur kira-kira RM600 juta untuk membina kilang pengeluaran enjin baharu di Sendayan, Negeri Sembilan, di mana pembinaannya dijangka bermula September ini.

Daihatsu dan Perodua masing-masing akan memegang 51 peratus dan 49 peratus ekuiti dalam syarikat yang mempunyai modal berbayar RM165 juta itu, kata Perodua dalam satu kenyataan Rabu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, pelaburan baharu itu adalah sebahagian daripada pelan transformasi Perodua untuk menjadi syarikat berdaya saing di peringkat global di segi kualiti, kos dan penghantaran serta meningkatkan ekosistem 'power train' dalam industri automotif.

Sementara itu, Daihatsu berkata, kumpulan itu akan meneruskan perubahan struktur operasi pengeluaran untuk kenderaan, termasuk transmisi automatik dan enjin dalam usaha meningkatkan daya saing di peringkat antarabangsa.

Kilang enjin baharu berkeluasan 19,000 meter persegi di atas tanah seluas 142,000 meter persegi itu pada mulanya akan mengambil 150 pekerja dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan 140,000 unit.

Perniagaan terasnya termasuk mengeluar dan menjual enjin kenderaan di samping membangun, mereka bentuk dan mengeluarkan komponen dan peralatan enjin.

Ia adalah pelaburan kedua Daihatsu di Sendayan selepas pembinaan kilang transmisi automatik elektronik yang dinamakan Akashi Kikai Industry Malaysia Sdn Bhd, yang mula beroperasi Mac lalu.

Perodua memiliki 10 peratus ekuiti dalam syarikat berkenaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain