suria

Felda Sedia Hadapi Permintaan Besar Lulu Hypermarket

ABU DHABI: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan atau Felda, yakin mampu menyalurkan bekalan yang mencukupi dalam menghadapi permintaan besar Lulu Hypermarket, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Samad.

Melalui kerjasama dengan Lulu Group International, pemilik 20 Lulu Hypermarket di Emiriah Arab Bersatu (UAE), membolehkan Felda menjual produk jenama Felda Best di pasar raya tersebut.

Selain membekalkan produk kepada pasaran Lulu Hypermarket di UAE, Felda juga bakal membekalkan barangannya dalam negara untuk 10 Lulu Hypermarket, yang akan dibuka di Malaysia seawal 2016.

Isa berkata kini terdapat lebih 20,000 pengusaha Felda, yang terdiri daripada kalangan peneroka, terlibat dalam pelbagai aktiviti pengeluaran.

"Sebahagian usaha mereka ini akan digabungkan dan diletakkan di bawah satu bumbung bagi menghasilkan pengeluaran secara besar-besaran. Teknologi moden akan digunakan," katanya kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman dengan Lulu Group International, di sini pada Isnin.

Acara itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Semalam, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata Lulu Group akan mengimport barangan dari Malaysia bernilai kira-kira US$34 juta tahun ini dan US$50 juta tahun depan.

Menurut Isa, Felda sudah membuat persediaan teratur bagi memastikan bekalan barangan mencukupi.

Katanya nilai jualan usahawan Felda meningkat setiap tahun, dan kini mencecah angka lebih RM1 juta setahun.

Isa berkata pada peringkat awal tujuh produk makanan sejuk beku jenama Felda Best sudah pun mula dijual di Lulu Hypermarket mulai bulan ini.

Difahamkan penghantaran stok sudah dilakukan, dan akan berterusan setiap dua bulan dan menyasarkan untuk menghantar 14 kontena sepanjang tahun hadapan.

Isa berkata Tapioca Cake (Getuk Ubi) keluaran Felda Best merupakan produk yang mendapat permintaan paling tinggi di Timur Tengah.

Namun, produk-produk lain yang memenuhi cita rasa, turut dihantar termasuk a Aloo Curry Puff (Karipap Kentang), Aloo Fried Bun (Pau Goreng Kentang), Red Bean Fried Bun (Pau Goreng Kacang Merah), Sweet Potato Cake (Cucur Badak), Sambal Fried Bun (Pau Goreng Sambal) dan Doughnut (Donut).

Selain itu katanya, buah-buahan tempatan juga bakal dipasarkan ke UAE melalui Lulu Hypermarket, termasuk Cavendish Banana (Pisang Cavendish), Golden Melon, MD2 Pineapple (Nanas MD2) dan Jackfruit (Nangka).

Berpangkalan di UAE, Lulu Group mempunyai 109 pasar raya di sembilan negara dengan purata 600,000 pembeli sehari.

Isa berkata selain barangan keluaran Felda, Lulu Group juga akan mengambil barangan daripada pengusaha luar dalam kalangan Bumiputera yang lain.

"Program ini amat baik. Mereka akan mengambil barangan yang memenuhi piawaian yang menyamai barangan Felda Best yang kita keluarkan dan fokus mereka adalah barangan Halal," katanya.

Malah, katanya peluang pekerjaan sekitar 7,000 di 10 Lulu Hypermarket yang bakal dibuka juga tidak dihadkan kepada generasi baharu warga Felda, bahkan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Perlu dijelaskan juga, Felda tidak menjalankan perniagaan ini. Felda hanya menjadi penganjur bagi pengusaha memasarkan barangan, terutama dalam kalangan peneroka keluar negara," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Besar, Servis Korporat, Hanapi Suhada berkata bagi memenuhi permintaan yang besar, Felda merancang mewujudkan empat zon, dengan setiap satu akan menampung sektor khusus.

Hanapi berkata sektor berkenaan ialah makanan, pertanian, ternakan dan akuakultur.

"Buat masa ini, kami merancang membuka kilang berharga RM25 juta bagi menampung segmen makanan di selatan. Tender mendirikan kilang itu akan dikeluarkan tidak lama lagi," katanya.

Felda, Lulu Hypermarket

Artikel Sebelum

Artikel Berikut