suria

Triways Travel - Kojas Jalin Kerjasama Teroka Pasaran Terengganu

KUALA TERENGGANU: Triways Travel Network (M) Sdn Bhd, syarikat pelancongan terkemuka negara mahu memperluas jaringan perniagaannya ke Pantai Timur Semenanjung dengan tumpuan kini di Terengganu.

Pengarah Urusan Kumpulan, Akil Yusof berkata, syarikat itu yang berpangkalan di Kuala Lumpur, kini memberi tumpuan kepada Terengganu yang sebelum ini ia tidak mempunyai sebarang kepentingan atau cawangan di negeri itu.

"Hari ini hasrat kami menjadi kenyataan apabila Triways mengadakan perjanjian kerjasama dua hala dengan Koperasi Jalinan Sahabat Terengganu Berhad (Kojas).

"Kami sangat berbesar hati kerana Kojas memilih kami sebagai rakan francais mereka di Pantai Timur, khususnya Terengganu. Kami yakin kerjasama dua hala itu akan terus mengembangkan bisnes Triways," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis menandatangani Perjanjian kerjasama antara Triways dan Kojas di sini malam tadi. Pada majlis itu Akil mewakili Triways manakala Kojas diwakili Pengerusinya Apli Yusoff serta disaksikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) negeri Terengganu Mahmud Kadar.

Akil berkata dari segi pelancongan, Terengganu masih lagi belum diteroka sepenuhnya, dan ini merupakan tugas berat bagi Kojas untuk merebut peluang yang ada secara betul dan tepat.

Sementara itu, Apli pula berkata Kojas sangat terharu atas pelantikannya sebagai rakan kongsi Triways di Terengganu.

"Banyak yang kita boleh kongsi, produk Triways boleh kita promosikan di sini manakala Triways pula boleh promosikan produk Kojas di sana," katanya.

Apli turut menghargai sumbangan kerajaan Terengganu yang memberi peluang kepada Kojas mengendalikan penerbangan umrah untuk dua penerbangan terus Kuala Terengganu-Madinah pada 12 dan 26 Jun ini.

Beliau berkata, Kojas yang ditubuhkan setahun lalu, mempunyai keanggotaan kira-kira 100 orang, menjalankan aktiviti dalam bidang perladangan, pelancongan, perhotelan, insurans, pemborongan, peruncitan.


Artikel Sebelum

Artikel Lain