suria

Bank Rakyat Catat Untung Bersih RM169 Juta Di Sarawak

KUCHING: Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) Sarawak mencatat keuntungan bersih berjumlah RM169 juta tahun lepas, kata anggota lembaga pengarah bank itu Datuk Mangsor Saad di sini Rabu.

Beliau berkata berdasarkan angka itu, Sarawak kini merupakan negeri kelima tertinggi mencatat keuntungan itu selepas Selangor di tempat teratas sebanyak RM330 juta, Wilayah Persekutuan (RM259 juta) Johor (RM204 juta) dan Sabah (RM204 juta).

Menurutnya jumlah ini telah membolehkan bank berkenaan memperoleh keuntungan bersih terkumpul berjumlah RM1.19 bilion tahun lepas.

"Kita menjangkakan akan dapat mengekalkan prestasi ini untuk 2014," katanya kepada media selepas menyerahkan zakat perniagaan Bank Rakyat berjumlah RM2.39 juta kepada Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), sebagai pemegang amanah zakat negeri ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang mewakili TBS, menerima zakat itu pada majlis ringkas di pejabatnya di Petra Jaya. Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Putit Matzen dan Pengurus Besar TBS Datuk Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Mangsor berkata Bank Rakyat kini mempunyai 145 cawangan di seluruh negara, termasuk 15 di Sarawak.


Bank Rakyat, Sarawak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

India Pengeluar Susu Dunia

Artikel Lain