suria

PKS Digesa Guna RM250 Juta Untuk Peroleh Maklumat Cukai

Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR: Kerajaan menggesa syarikat perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan bantuan geran latihan sebanyak RM250 juta bagi mendapat pendedahan serta maklumat mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (CBP).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata masih terdapat sejumlah  besar daripada peruntukan itu yang belum digunakan.

"Kerajaan berharap syarikat dan PKS mengguna pakai insentif yang disediakan  kerajaan kerana ia  percuma.

"Peruntukan ini terbahagi kepada dua kategori iaitu RM100 juta bagi latihan kepada kakitangan syarikat dan PKS, manakala RM150 juta lagi diperuntukkan bagi tujuan bantuan kewangan kepada PKS membeli perisian perakaunan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat latihan penyedia perkhidmatan insurans, Great Eastern di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penerimaan peruncit terhadap cukai baharu itu yang akan dilaksanakan pada 1 April 2015.

Mengenai laporan hanya 10 peratus daripada 250 peruncit di bawah Persatuan Peruncit-Rantaian Malaysia bersedia menghadapi CBP, Ahmad berkata antara langkah yang boleh diambil ialah dengan mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan mensasarkan 75 peratus penduduk Malaysia mempunyai insurans menjelang 2020 sejajar  matlamat negara untuk mencapai status negara maju.

Pada tahun lalu, 53.1 peratus  rakyat negara ini  dilindungi sama ada insurans peribadi atau keluarga berbanding 40.9 peratus dicatatkan 10 tahun lalu.


pks, ahmad maslan, cukai

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain