suria

Marriott Sasar Buka Lima Hotel Courtyard

MELAKA: Marriott International Inc menyasar untuk membuka lima hotel 'Courtyard by Marriot' di Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifiknya Peter Gassner berkata dua daripada hotel berkenaan, iaitu di Melaka, akan dibuka pada April 2017 dan di Pulau Pinang pada 2018.

"Courtyard direka bentuk untuk pengembara perniagaan yang mahu menikmati percutian berbeza daripada tawaran biasa.

"Pelancong percutian juga akan tertarik kepada Courtyard kerana pengalaman yang hebat serta pelbagai pilihan yang ditawarkan," katanya dalam ucapan pada majlis pecah tanah Courtyard by Marriot Melaka di Jalan Tun Sri Lanang di sini, Sabtu.

Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Pengarah syarikat Apple 99 Development Sdn Bhd Datuk Seri Lee Ee Hoe.

Gassner berkata pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat tempatan, Apple 99 Development dan City Mall Sdn Bhd bagi pembangunan hotel berkenaan yang turut dirancang dibuka di Lembah Klang dan Johor Bharu.

Sementara itu, beliau berkata Courtyard by Marriot Melaka yang setinggi 24 tingkat, bernilai RM170 juta, mempunyai 284 bilik, dilengkapi perabot mewah dan kemudahan berteknologi tinggi serta kemudahan lain seperti gimnasium, kolam renang dan dewan yang mampu memuatkan sehingga 800 orang.

Beliau berkata Melaka dipilih sebagai lokasi pertama hotel itu berikutan kedudukannya yang strategik antara Singapura dan Kuala Lumpur selain kaya dengan pelbagai warisan semula jadi dan menjadi tumpuan pelancong.

Marriott, Melaka, Hotel Courtyard

Artikel Sebelum

Artikel Lain