suria

TM Beli 57% Kepentingan Packet One Networks Pada Harga RM350 Juta

Perjanjian yang termeterai antara TM dan Packet One yang turut disaksikan oleh Datuk Sri Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) membeli 57 peratus pegangan dalam Packet One Networks (M) Sdn Bhd (P1) dengan harga RM350 juta bagi membolehkan syarikat itu menyediakan perkhidmatan komunikasi berpusat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, menerusi pembelian itu, TM boleh memanfaatkan teknologi LTE P1 bagi menyediakan perkhidmatan data berkualiti tinggi dan diyakini dalam semua segmen komuniti.

"P1 akan memanfaatkan aset spektrumnya, platform wayarles sedia ada dan jejak rangkaian hampir 2,000 tapak, pengurusan yang berpengalaman serta organisasi untuk mempercepatkan kemasukannya ke ruang LTE," katanya pada sidang akhbar di sini, Khamis.

Terdahulu, TM memeterai perjanjian pelaburan dengan Green Packet Bhd dan syarikat telekomunikasi terbesar Korea, SK Telecom Co Ltd, yang disaksikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk membangunkan prasarana LTE generasi seterusnya.

Perjanjian itu yang akan membuka laluan untuk pembentukan rangka kerja perkongsian bagi tiga pihak tersebut, juga bertujuan untuk berkongsi pemilikan dan bekerjasama dalam pertumbuhan masa depan P1.

TM akan menerajui pertumbuhan dan pembangunan perniagaan P1, SK Telecom akan menyumbang pengetahuan strategik dan teknikal yang berharga manakala Green Packet akan memastikan kesinambungan perniagaan P1.

"Perkongsian ini menyediakan platform telah sedia LTE bagi kami untuk melancarkan dengan lebih cekap produk jalur lebar wayarles kepada pelanggan," kata Zamzamzairani.

Beliau berkata TM akan melabur sehingga RM210 juta ke dalam Green Packet menerusi bon boleh tukar boleh tebus yang baru diterbitkan yang boleh ditukarkan kepada pegangan Green Packet dalam P1 di masa depan.

Artikel Lain