suria

Koperasi Bersatu Jaya Sasar Jualan Ais Batu Meningkat Hasil Bantuan SKM

Seorang pekerja sedang melakukan kerja pembungkusan ais kiub. - Gambar hiasan

KUALA TERENGGANU: Koperasi Bersatu Jaya (KPJ) yakin operasi kilang ais batu miliknya di Pulau Perhentian, Besut, mampu mencatat jualan bulanan sehingga RM40,000 sebelum akhir tahun ini berbanding hanya RM15,000 sebulan ketika ini.

Pengerusi KBJ, Seman Muda berkata, keyakinan itu berdasarkan permintaan menggalakkan daripada pelanggan di sekitar Pulau Perhentian, terutama pengusaha restoran, pemilik chalet, resort, kedai runcit dan warung kopi, di pulau peranginan terkenal itu.

"Sebelum ini, kilang lama milik koperasi hanya mampu menghasilkan ais kiub sehingga 3,000 kilogram sebulan atau anggaran pendapatan kira-kira RM15,000 sahaja.

"Namun, bermula awal tahun lepas, menerusi bantuan geran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Terengganu sebanyak RM200,000, membolehkan kami membesarkan kilang sedia ada dan membeli lebih banyak mesin untuk meningkatkan produktiviti kilang," katanya ketika dihubungi Bernama pada Rabu.

Menerusi pelbagai bantuan yang diterima daripada kerajaan, khususnya SKM, dalam bentuk pinjaman, bantuan modal dan sokongan moral, KPJ kini lebih yakin untuk membesarkan operasi perniagaannya dengan menceburi bidang lain.

"Perancangan KBJ cukup banyak, termasuk menceburi bidang makanan sejuk beku dan membuka perniagaan kedai runcit bagi meningkatkan sumber pendapatan  285 anggota koperasi sedia ada," katanya.

Kilang ais batu itu turut mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan Terengganu Roslee Daud yang melawat kilang berkenaan menerusi program jejak usahawan.

Seman berkata, kilang milik koperasi itu juga kini berada dalam senarai usahawan yang dibimbing oleh Majlis Sekretariat Pembangunan Usahawan Terengganu kerana prestasinya yang semakin cemerlang.

"Dengan adanya bimbingan ini, kami berharap lebih banyak perniagaan baharu boleh diceburi kerana sekretariat ini dianggotai 18 agensi keusahawanan yang pastinya lebih fokus terhadap usahawan, terutama operasi kilang milik koperasi seperti kami.

"Walaupun hanya beroperasi di pulau, kami akan terus berusaha membesarkan perniagaan ais batu ini menerusi bimbingan sekretariat untuk masa depan kami,

terutama anak tempatan di pulau berkenaan," katanya.

Artikel Lain