suria

Fareeda Sasar RM90 Juta Jualan Tudung Eksklusif Tahun Ini

Mawar Abdul Karim.

KEPALA BATAS: Fareeda Global Resources Sdn Bhd (Fareeda), pengeluar dan pengedar tudung eksklusif dan berkualiti menyasarkan jualan sehingga RM90 juta pada tahun ini iaitu tiga kali ganda berbanding jualan tahun lepas.

Pengurus Pemasaran dan duta Fareeda, Mawar Abdul Karim berkata, sasaran itu berdasarkan permintaan yang tinggi setiap hari terhadap rekaan tudung eksklusif keluaran Fareeda.

"Selain itu, pembukaan dua lagi cawangan baharu butik Fareeda di Kelantan dan di Bertam di sini turut diyakini mampu melonjakkan jualan pada penghujung tahun ini," katanya kepada pemberita selepas sesi temuduga bagi pengambilan pekerja untuk cawangan baharunya di sini, Selasa.

Beliau berkata, Fareeda juga telah menyenarai pendek Ipoh, Perak dan Johor Baharu, Johor sebagai lokasi cawangan Fareeda seterusnya serta Brunei untuk pasaran antarabangsa.

"Jika semuanya berlangsung dengan baik dan lancar, pembukaan cawangan yang telah disenarai pendek itu akan dilakukan sebelum akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, katanya program temuduga yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Pulau Pinang (JPWNPP) itu bertujuan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat terutama ibu tunggal bagi cawangan baharu Fareeda di Bertam di sini.

Katanya, cawangan baharu itu dijangka beroperasi pada Jun ini.

"Bidang pekerjaan yang ditawarkan adalah tukang jahit, pekerja pengeluaran dan pembantu tadbir. Bagi tukang jahit, mereka akan diberi latihan intensif oleh tenaga pengajar yang terlatih selama dua bulan.

Katanya, permintaan yang diterima terhadap tudung Fareeda adalah tinggi dan tenaga kerja yang ramai diperlukan untuk memenuhi permintaan orang ramai.

"Jumlah pengeluaran sekarang ini masih belum mampu menampung kehendak pasaran," katanya.

Pada masa ini, Fareeda mempunyai lebih 500 pekerja di tujuh cawangan sedia ada iaitu di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi (Ibu pejabat kawasan Lembah Klang), Seksyen 9 Bandar Baru Bangi, Shah Alam, Permatang  Pauh, Pulau Pinang (Ibu pejabat kawasan Utara), The Mall Kuala Lumpur, Sungai Petani dan Kubang Kerian, Kelantan.


Artikel Lain