suria

AIBIM Jangka Produk Baharu Deposit Islam, Akaun Pelaburan Diperkenal

Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

KUALA LUMPUR: Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) menjangkakan produk baharu bagi akaun pelaburan akan diperkenal akhir tahun ini atau awal tahun depan.

Presidennya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid berkata, institusi Islam sedang mengemas kini produk deposit dan akan melaksanakannya segera dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Laporan menyebut bahawa institusi kewangan Islam akan mengklasifikasikan semula deposit Islam seperti yang diperuntukkan mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA 2013).

Akta ini memperkenal dua pengkelasan utama produk bagi penerimaan tunai daripada pelanggan oleh institusi perbankan Islam - akaun deposit dan akaun pelaburan Islam.

Mohd Redza berkata, akta itu membolehkan institusi Islam menawarkan produk baharu kepada orang ramai.

"Para pelanggan akan diberikan maklumat secukupnya dan masa untuk membuat keputusan mereka.

"Semasa tempoh peralihan, deposit Islam atau akaun terlibat kekal dan terus dilindungi Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)," katanya pada sidang media, Selasa.

Institusi kewangan Islam akan memastikan proses peralihan itu berjalan lancar dan tidak menyukarkan pelanggan, kata Mohd Redza yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Bank Muamalat Malaysia Bhd.

Beliau berkata, institusi kewangan Islam dari semasa ke semasa akan berkomunikasi untuk memaklumkan pelanggan mereka mengenai kemajuan terbaru, dan menambah proses itu dijangka selesai pada 30 Jun 2015.

Para pelanggan boleh menghubungi pusat perkhidmatan panggilan atau mengunjungi cawangan wakil institusi kewangan Islam atau Bank Negara Malaysia untuk sebarang pertanyaan.


Artikel Lain