suria

Senyum hembus nafas terakhir, ‘nurse’ sebak urus jenazah ibu hamil! Dedah ramai wanita pendam sakit, enggan suami susah

Wanita hamil disaran menjaga kesihatan bagi memastikan kandungannya sihat serta mengurangkan risiko komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran. -Gambar hiasan

KEHAMILAN sepatutnya menjadi saat yang paling bahagia dalam hidup seorang wanita. 

Namun bagi sesetengah bakal ibu, ia juga merupakan pertarungan antara hidup dan mati lebih-lebih lagi jika kandungannya mengalami komplikasi.

Komplikasi ketika hamil bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana ia berisiko meragut nyawa dalam sekelip mata.

Itulah yang berlaku kepada seorang wanita muda yang sarat hamil namun akhirnya pergi menghadap Ilahi sebelum sempat menatap cahaya matanya. 

Kisah menyentuh hati itu dikongsikan oleh seorang jururawat, @atyrahazizie yang berada di samping wanita tersebut pada saat-saat akhir hayatnya, malah turut menguruskan jenazah arwah. 

"Hari tu saya kerja syif malam. Dalam list admission, ada satu nama... Puan Nur Aisyah, 27 tahun, mengandung lapan bulan, tekanan darah 210/115.

Melalui pemeriksaan kesihatan berkala, pakar perubatan dapat mengenal pasti risiko seperti tekanan darah tinggi, masalah tumbesaran janin dan sebagainya. -Gambar hiasan

"Saya dah rasa tak sedap hati. Dia datang dengan muka pucat, tangan sejuk dan kaki bengkak sampai tak boleh pakai selipar," tulisnya dalam satu hantaran di media sosial. 

Untuk pengetahuan bersama, tekanan darah seperti bacaan yang direkodkan wanita tersebut adalah tidak normal untuk ibu hamil dan situasi itu merupakan antara tanda pre-eclampsia, iaitu komplikasi serius kehamilan yang boleh menjejaskan organ ibu dan perkembangan janin. 

Cerita jururawat berkenaan, biarpun dalam keadaan pucat dan lemah, wanita tersebut masih mampu mengukir senyuman sambil memaklumkan sedang menunggu suaminya tiba.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi meninggal dalam kandungan... Si ibu duduk sekejap waktu bekerja diarah bangun, mata bos 'melekat' di CCTV

ARTIKEL BERKAITAN: Berang bersalin czer, suami terus tinggalkan isteri... Anggap tubuh dah rosak - “Orang bodoh je nak operation”

"Masa doktor check jantung bayi, tak ada bunyi, tak ada gerakan, tak ada denyutan. Bilik bersalin jadi sunyi.

"Doktor tarik nafas panjang. 'Aisyah... saya minta maaf, baby awak dah tak ada'. Saya tengok mata dia berkaca. Tapi dia senyum. 'Tak apa doktor, asalkan saya masih hidup. Saya reda'.

"Itu ayat terakhir dia. Beberapa minit lepas tu, dia rebah. Kami kejut tak bangun, buat CPR. Kami lari sorong ke emergency ward, cucuk jarum, jolok tiub oksigen. Tapi jantung dia makin perlahan," ceritanya.

Dalam kegigihan doktor dan jururawat bertungkus lumus mahu menyelamatkan nyawa wanita berkenaan, dia menghembuskan nafas terakhir dalam tempoh kurang 10 minit.

Buka mata sebelum terlambat. Kalau korang sayang isteri, sayang betul-betul sebelum dia jadi sejuk dan kaku.

JURURAWAT

"Puan Aisyah meninggal dunia dalam keadaan senyum, masih pakai baju mengandung. Dan dalam keadaan belum sempat suami sampai.

"Saya yang tukarkan kain kapan untuk dia, lap darah dia, letak kapas dalam lubang hidung dia... sambil mata saya tak henti menangis.

"Saya bukan keluarga dia. Tapi masa tu saya rasa macam tengok kakak sendiri meninggal," kongsinya.

Suasana menjadi semakin sebak serta hiba apabila suaminya sampai di hospital dan meraung sebaik sahaja mengetahui berita pemergian isteri dan bayinya.

"Suara dia pecah satu hospital. Saya sendiri tak mampu tenangkan dia. Dia peluk mayat isteri, cium dahi isteri berkali-kali sambil ulang satu ayat 'maafkan saya sayang, saya tak tahu awak sakit seteruk ni'. 

Sebahagian daripada komen netizen.

"Dan hari tu saya sumpah tak boleh lupa. Saya nurse. Saya nampak benda macam ni makin banyak. Kebanyakannya sebab isteri pendam.

"Pendam pening, sesak nafas, jantung laju, bengkak kaki... Sebab takut menyusahkan suami. 

"Dia fikir itu normal masa mengandung. Padahal tak. Pre-eclampsia, pulmonary embolism, darah beku... semua tu 'bunuh' diam-diam," ceritanya lagi.

Justeru jururawat tersebut menitipkan pesanan kepada para suami agar jangan mengambil remeh luahan isteri kerana ia mungkin berisiko sekiranya lambat dirawat. 

"Kita boleh cari duit lain tapi kita takkan boleh cari isteri yang sanggup mati untuk lahirkan anak kita. 

"Buka mata sebelum terlambat. Kalau korang sayang isteri, sayang betul-betul sebelum dia jadi sejuk dan kaku," akhirinya.

Ribuan komen membanjiri hantaran tersebut, dengan ramai yang turut berkongsi pengalaman kehilangan orang tersayang akibat komplikasi kehamilan yang tidak disangka-sangka.

"Mati syahid... senyum nampak nikmat Allah dah sediakan lepas meninggal dunia.

"Sedihnya, isteri abang saya pun meninggal sebab kena eclampsia. Kami semua masih bersedih atas pemergian anak dalam kandungan dan arwah isteri abang.

"Inilah yang orang lelaki kata 'mengandung je pun'," demikian antara komen netizen. 

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain