NAHAS jalan raya yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Gerik-Jeli, sememangnya meruntun hati masyarakat.
Namun, terdapat individu yang kurang bertanggungjawab dengan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan jelik sehingga mengguris hati keluarga mangsa.
Menerusi hantaran tular, pengguna akaun Facebook Khalid Yunus menyatakan 15 penuntut UPSI maut dalam keadaan hina.
Malah dia secara terang-terangan menyatakan kesemua mangsa bukan kalangan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Hantaran yang dibuat Khalid Yunus berhubung kemalangan maut pelajar UPSI.
"15 penuntut UPSI mati dalam keadaan hina!
"15 penuntut UPSI yang maut kemalangan bas ekspres bukan orang beriman kerana mereka mati dalam berhutang dengan PTPTN.
"Mana mungkin mereka orang beriman kerana tidak dibenarkan masuk syurga, sudahlah mereka juga banyak dosa?
"Jadi, nerakalah tempat mereka iaitu tempat yang sehina-hina tempat," tulisnya di laman Facebook.
Khalid Yunus turut menyatakan dunia bukan syurga dan dunia juga bukan neraka kerana syurga dan neraka bukan tempat berhutang.
Terdahulu hantaran yang dibuatnya itu dikongsikan seorang bekas guru viral, Mohd Fadli Salleh sehingga mengundang rasa kurang senang dalam kalangan netizen.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas bawa pelajar UPSI kemalangan di Gerik, sekurang-kurangnya 15 maut
ARTIKEL BERKAITAN:
Meluahkan rasa bimbang dengan posting tular itu, beliau meminta supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun Facebook tersebut.
Susulan kecaman dan kritikan yang diterima, Khalid Yunus tampil membuat permohonan maaf dan memadam posting yang dibuat sebelumnya.
"Di sini saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI.
"Semoga mereka di tempatkan bersama orang-orang beriman dan mendapat husnul khotimah," tulisnya pada pagi Rabu.
Berdasarkan perkongsian awam, Khalid Yunus merupakan seorang bekas pelajar UPSI dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) dengan kepujian.
Dia juga dipercayai seorang guru di salah sebuah sekolah menengah di Perak.

Klausa yang terkandung dalam contoh dokumen perjanjian antara peminjam dan PTPTN.
Untuk rekod, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) mempunyai perlindungan takaful.
Manfaat perlindungan takaful dan bayaran khairat kematian disediakan secara percuma kepada semua pendeposit yang layak.
Ia bagaimanapun tertakluk kepada Peraturan Perlindungan Takaful Berkelompok PTPTN seperti diterbitkan dalam buku info PTPTN, halaman 18.
Malah menerusi dokumen perjanjian pinjaman PTPTN yang perlu ditandatangani peminjam, terdapat klausa yang menyatakan peminjam memberi persetujuan yang tidak boleh dibatalkan untuk membenarkan perbadanan memotong terus kos perlindungan takaful ini daripada jumlah pinjaman diterima.
Dalam pada itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang turut memaklumkan PTPTN telah melupuskan dan memaafkan keseluruhan pinjaman yang dibuat oleh 15 orang pelajar UPSI yang terlibat.
“Jadi tidak ada sebarang isu berkaitan pinjaman bayaran balik dengan 15 mangsa yang dimaksudkan,” katanya.


