suria

Jemaah surau ‘basuh’ penceramah, melenting disuruh henti kejar harta dunia - “Cakap senang la, ustaz ada semua”

Ketegangan boleh berlaku di mana saja jika seseorang itu terlampau ikut emosi. -Gambar hiasan

PENCERAMAH bebas sering dijemput ke masjid sebagai satu usaha untuk mengimarahkan rumah ibadat umat Islam.

Gaya penyampaian mereka yang berkobar-kobar serta diselangi lawak jenaka menjadikan majlis perkongsian ilmu lebih meriah dan bersifat santai untuk dihadiri jemaah.

Namun, melalui satu hantaran tular di Facebook, seorang lelaki mendedahkan tercetus salah faham antara jemaah dan penceramah sehingga berlaku ketegangan di surau kariahnya.

Masjid seharusnya menjadi pusat komuniti untuk masyarakat beragama Islam. -Gambar hiasan

Menurutnya, ketika sesi itu penceramah sedang membincangkan tentang topik bekalan hari akhirat.

"Kata ustaz itu dalam ceramahnya, tuan-tuan, kita yang dah berumur 50 tahun ke atas ni, tak perlulah lagi fikir nak rebut harta dunia. Banyakkan beribadah.

"Lebihkan masa untuk amalan yang akan dibawa ke akhirat," demikian teguran penceramah tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Hubungan ‘panas’, kerap gaduh selepas bertunang... Wanita tetap bertahan, anggap kifarah sebab dah terlanjur

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis merungut bakal mak mentua jenis cakap lepas, BF terus hilang sabar - “Mak aku tu, aku lempang kau nanti!”

Walaupun begitu, nasihat penceramah berkenaan disalah erti oleh seorang jemaah sebagai serangan peribadi sehingga dirinya naik angin.

"Tiba-tiba bangun seorang jemaah. Dia cakap, saya tahu ustaz ada tiga buah kereta mewah, tiga buah rumah, kalau tak silap saya ustaz juga ada banglo. Ustaz pun ada dusun durian di Kuala Kangsar, Perak.

"Ustaz bagi ceramah ni pun berbayar. Ustaz nak cakap begitu senang la sebab ustaz dah ada semua," bidas jemaah penuh emosi.

Seimbangkan antara akhirat dan dunia, sebab kedua-duanya pun penting untuk kita ambil berat.

WARGA MAYA

Tambah jemaah itu, dia mengakui dirinya berada dalam golongan kurang berkemampuan dan perlu bekerja keras untuk menyara keluarga meskipun sudah lanjut usia.

"Saya rumah pun tak ada lagi, saya tak boleh berehat. Lagipun kalau kita kerja hari-hari dengan niat kerana Allah, itu juga dikira sebagai satu ibadah bukan?" soal jemaah itu.

Dalam pada itu, lelaki tersebut berkata situasi di surau menjadi tegang ekoran kenyataan yang dikeluarkan jemaah berkenaan.

"Pengerusi surau terpaksa masuk campur untuk meredakan suasana. Selesai je majlis, ustaz tu terus beredar dengan diiringi pengerusi surau.

Sebahagian perspektif warga maya.

"Kelihatan ada beberapa jemaah yang menyokong tindakan jemaah itu kerana dikatakan sebagai mewakili golongan orang susah," ujar lelaki itu lagi.

Menjengah ke ruangan komen, warga maya berkata jemaah tersebut terlalu mengikut emosi dan gagal melihat gambaran penuh apa yang hendak disampaikan penceramah itu.

"Susah juga dapat jemaah yang tak faham bahasa ni. Point di sini adalah jangan terlampau mengejar hal dunia sampai lupa kubur memanggil, bukannya tinggalkan dunia sepenuhnya.

"Seimbangkan antara akhirat dan dunia, sebab kedua-duanya pun penting untuk kita ambil berat.

"Kalau dah tahu pekerjaan itu boleh dijadikan ibadah, maka teruskan, kenapa nak pergi mengamuk dekat ustaz tu pula. Pelik betul orang sekarang ni," kata warga mengutarakan pandangan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain