suria

Kahwin campur... Isteri sukar terima suami makan nasi kuah air mineral, air paip - “Macam makanan angsa opah aku”

Chai berkata nasi yang dicampur air merupakan satu kebiasaan di negara asalnya.

VIDEO seorang lelaki yang mencampurkan air mineral ke dalam sepinggan nasi meraih perhatian netizen.

Ketika dihubungi mStar, pemilik video iaitu Chailany, 31, berkata hidangan berkenaan merupakan satu kebiasaan di negara asalnya, Kemboja.

Senang disapa Chai, dia yang menetap di Malaysia sejak tahun 2004 mengakui masih meneruskan tradisi itu meskipun ia sukar diterima oleh isterinya sendiri.

cai3

Chai menetap di Malaysia sejak tahun 2004 dan mendirikan rumah tangga pada 2020.

"Saya sebenarnya bukan lokal. Saya orang Kemboja. Makanan ini biasa di Kemboja. Kalau ikutkan bukan dengan air mineral je, dengan air apa-apa pun boleh, termasuklah air paip.

"Zaman dulu biasa makan dengan garam je. Selain itu, boleh juga makan dengan ikan salai atau kan pdam dalam bahasa Cham. Tapi kalau makan dengan ikan salai tu, dah dikira mewah.

"Saya masih amalkan cara makan ini sampai sekarang. Cuma isteri tak boleh ikut. Dia tengok saya makan mi segera dengan nasi pun dia pelik," ujarnya ketika dihubungi.

Makanan ini biasa di Kemboja. Kalau ikutkan bukan dengan air mineral je, dengan air apa-apa pun boleh, termasuklah air paip.

CHAILANY

Chai yang bekerja sebagai content reviewer berkata menu hariannya normal seperi orang lain dan dia hanya menikmati menu unik itu sekali-sekala sahaja.

Berkahwin dengan seorang rakyat Malaysia pada 2020, Chai yang menetap di Puchong, Selangor meraih perhatian ramai selepas dia berkongsi tentang hidangan unik itu menerusi aplikasi TikTok.

Video itu menerima lebih 100,000 tontonan dan turut dihujani komen netizen yang bercerita pengalaman mereka menikmati makanan sama.

Malah, ada netizen yang turut berjenaka dengan menyamakan makanan itu seperti makanan yang diberikan kepada angsa.

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa nak menangis nasi campur RM24, takut nak tanya tauke tak mesra pelanggan - “Muka makcik tu bengis”

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik tua jual 25 jenis lauk dalam kereta, harga RM5 ramai tak tergamak nak bayar - “Berniaga ke sedekah ni?”

"Macam makanan angsa opah aku, tapi angsa tu dah kena sembelih.

"Pernah juga campur nasi dengan air teh. Lagi satu, gaul nasi dengan gula dan kelapa parut.

"Teringat arwah nenek. Buat macam ni untuk cucu-cucunya, tapi letak gula sikit biar rasa manis.

"Kalau bapa saya dulu letak garam sikit. Kalau ada ikan masin lagi sedap. Ingat keluarga saya je makan macam ni," tulis beberapa netizen.

cai2

Video dikongsi Chai meraih perhatian ramai di TikTok.

Mengulas video tular itu, Chai berkata hantarannya di TikTok tidak menerima komen negatif, sebaliknya dipenuhi dengan komen positif netizen.

"Kebanyakannya komen positif. Mereka cuma berkongsi pengalaman dalam komen tu. Tapi saya pula yang pelik dengan komen netizen.

"Sebab ada yang makan dengan kopi, teh, cili dan macam-macam lagi," ujar Chai yang juga bapa kepada seorang cahaya mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!